MALAM penuh prestij di Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) menyaksikan naskhah kekeluargaan Babah memahat sejarah tersendiri apabila diangkat sebagai Filem Terbaik, sekali gus menerima Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM1 juta.
Kemenangan ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi simbol keyakinan terhadap nadi penceritaan yang jujur, berjiwa dan dekat di hati penonton Malaysia.
Diterbitkan oleh Nads Media Entertainment, Babah berjaya menyingkirkan saingan kuat seperti Blood Brothers: Bara Naga, Soloz Game of Life, Takluk: Lahad Datu dan Reversi.
Malam gemilang tersebut turut bertukar menjadi malam penuh makna buat pasukan produksi apabila filem ini mendominasi empat lagi kategori utama iaitu Lakon Layar Terbaik (Wan Rafiq), Cerita Asal Terbaik (Nadia Nadzri), Pelakon Wanita Terbaik (Sweet Qismina) dan Pelakon Lelaki Terbaik (Qi Razali).
Pengarahnya, Mohd. Shah Faizul Ibrahim, turut diumumkan sebagai Pengarah Harapan, membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 serta RM20,000 dalam bentuk kredit fasiliti FINAS, satu penghargaan buat bakat baharu yang semakin menyerlah dan membawa suara segar dalam dunia sinema.
Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra menerusi Blood Brothers: Bara Naga pula dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik, menandakan saingan sihat dalam industri yang semakin berani meneroka skala produksi lebih besar dan naratif lebih kompleks.
Filem aksi epik itu juga turut menggondol empat lagi pengiktirafan termasuk Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Sinematografi Terbaik, Lagu Tema Terbaik serta Anugerah Khas Box Office selepas meraih kutipan RM73.6 juta, antara yang tertinggi dalam sejarah perfileman tanah air.
FFM34 tahun ini juga meraikan tenaga kreatif di belakang tabir melalui kategori baharu, Anugerah Aksi & Lagak Ngeri Terbaik, yang menjadi milik Ubbaidillah Amirzan atas kerjanya dalam Blood Brothers: Bara Naga, satu langkah yang akhirnya memberi spotlight wajar kepada pasukan aksi yang sering menjadi nadi keghairahan sinematik.
Satu momen sarat emosi turut terpahat apabila seniman legenda, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, menerima Anugerah Khas Sepanjang Zaman atas lebih lima dekad dedikasi dan pengabdian kepada seni lakon dan perfileman negara.
Dengan tema 'Karya Kreatif, Sinema Dinamik', edisi tahun ini dirasakan sebagai meraikan keberanian pengkarya dalam bereksperimen, menolak batas kreativiti dan memperluas horizon penceritaan.
Sebanyak 41 filem cereka, 26 filem pendek dan 23 dokumentari dipertandingkan selepas proses penilaian bermula 8 hingga 25 Julai lalu, mempamerkan landskap sinema tempatan yang semakin rencam dan progresif.
Secara keseluruhan, penerima bagi 27 kategori membawa pulang hadiah RM5,000 bersama trofi, manakala pemenang Anugerah Khas menerima RM10,000.
Selain itu, tujuh kategori termasuk Pengarah Harapan, Dokumentari Terbaik, Sinematografi Terbaik dan Filem Terbaik turut membawa pulang kredit fasiliti FINAS bernilai RM20,000, satu suntikan sokongan yang penting untuk kesinambungan karya kreatif industri.
Kejayaan Babah di FFM34 menjadi penanda bahawa cerita yang dekat dengan jiwa masih mampu berdiri megah, dan sinema Malaysia terus mengorak langkah mekar dengan kepelbagaian suara serta visi baharu yang semakin matang.
Senarai Penuh Pemenang FFM34
Filem Terbaik:
Babah
Pengarah Terbaik:
Syafiq Yusof & Abhilash Chandra (Blood Brothers: Bara Naga)
Pelakon Lelaki Terbaik:
Qi Razali (Babah)
Pelakon Wanita Terbaik:
Sweet Qismina (Babah)
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik:
Syafiq Kyle & Syazwan Zulkifly (Blood Brothers: Bara Naga)
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik:
Ellie Suriaty (Telaga Suriram)
Pelakon Lelaki Harapan:
Amir Ahnaf (Kahar: Kapla High Council)
Pelakon Wanita Harapan:
Michelle Lungan (Tegkang)
Pengarah Harapan:
Mohd Shah Faizul (Babah)
Pelakon Kanak-kanak Terbaik:
Puteri Rafasya (Telaga Suriram)
Lakon Layar Terbaik:
Wan Rafiq (Babah)
Cerita Asal Terbaik:
Nadia Nadzri (Babah)
Penyunting Terbaik:
Ariff Aiman Azahar, Nazifdin Nasrudin & Syafiq Yusof (Soloz: Game of Life)
Sinematografi Terbaik:
Nicholas Chin (Blood Brothers: Bara Naga)
Lagu Tema Terbaik:
Bara Jiwa – Azlan & The Typewriter (Blood Brothers: Bara Naga)
Skor Muzik Asal Terbaik:
Megat Sazali & Ahmad Huzaini (Soloz: Game of Life)
Penataan Bunyi Terbaik:
Mohsin Othman (Soloz: Game of Life)
Penataan Seni Terbaik:
Wan Zulkifli Wan Salleh (Kulit Wayang)
Rekaan Kostum/Busana Terbaik:
Farah Syaliq (Mencari Ramlee)
Tatarias Terbaik:
Ella Sandera (Takluk: Lahad Datu)
Kesan Khas Visual Terbaik:
Jehcob & Sam (Soloz: Game of Life)
Aksi & Lagak Ngeri Terbaik:
Ubbaidillah Amirzan (Blood Brothers: Bara Naga)
Poster Terbaik:
Tegkang
Filem Pendek Terbaik:
Saranghae (Rastech Worldwide Sdn. Bhd)
Filem Dokumentari Terbaik:
Rindu Tak Berpenghujung
Anugerah Khas Juri 1:
Ejen Ali The Movie 2
Anugerah Khas Juri 2:
Takluk: Lahad Datu
Anugerah Khas filem Box Office:
Blood Brothers: Bara Naga
Anugerah Khas Karyawan:
Hassan Muthalib
Anugerah Khas Sepanjang Zaman:
Datuk Ahmad Tarmimi Siregar
ARTIKEL LAIN:
0 Comments