| Sweet Qismina diumumkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik AIFFA 2025 |
MALAM kemuncak ASEAN International Film Festival & Awards 2025 (AIFFA 2025) yang berlangsung di Colosseum Ballroom, Pullman Hotel, Kuching, pada Sabtu malam menyaksikan Malaysia mengukir pencapaian membanggakan dengan meraih tiga anugerah utama.
Sorotan utama malam itu sudah tentu kemenangan Sweet Qismina yang dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik melalui lakonannya sebagai watak Maya dalam filem Babah.
Kemenangan ini menyaksikan aktres yang sebelum ini memenangi Pelakon Wanita Terbaik FFM34 itu menewaskan empat calon lain, termasuk Hong Dao-chi Dau (Vietnam), Imelda Budiman (Indonesia), Zulfa Maharani (Indonesia), dan Katrina Halili (Filipina).
Sementara itu, pelakon kelahiran Taiwan, Wu Kang-Ren, yang membintangi filem terbitan Malaysia Abang Adik, berjaya memenangi kategori Pelakon Lelaki Terbaik.
Filem Tegkang arahan Josh Nawan turut meraih Anugerah Khas Juri pada acara sama, menambah lagi kebanggaan Malaysia di pentas serantau.
Dominasi Karya Hebat
Filem Tenement dari Kemboja dinobatkan sebagai Filem Terbaik, menewaskan enam pencalonan lain termasuk Inside the Yellow Cocoon Shell (Vietnam), Some Nights I Feel Like Walking (Filipina), Abang Adik (Malaysia), The Gospel of the Beast (Filipina), Crocodile Tears (Indonesia), dan Home Sweet Loan (Indonesia).
Karya seram yang diadaptasi daripada novel popular ini memikat panel juri dengan penceritaan gelap dan nuansa misteri yang menggerunkan.
Kategori Pengarah Terbaik dimenangi Pham Thien An dari Vietnam menerusi filem Inside the Yellow Cocoon Shell, yang turut membawa pulang Anugerah Penyuntingan Filem Terbaik.
Sementara itu, Yunita Siregar (Indonesia) diumumkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik melalui lakonannya dalam Home Sweet Loan, manakala Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menjadi milik Ronnie Lazaro (Filipina) melalui peranannya dalam The Gospel of the Beast.
Selain itu, Anugerah Lakon Layar Terbaik diberikan kepada produksi Filipina The Gospel of the Beast, manakala filem Some Nights I Feel Like Walking, juga dari Filipina, memenangi Anugerah Sinematografi Terbaik.
Pengarah terkenal Filipina, Lav Diaz, diraikan dengan Anugerah Sepanjang Zaman, manakala pelakon legenda Hong Kong, Simon Yam, menerima Anugerah Inspirasi ASEAN.
Diperkenalkan sejak 2013, AIFFA pada edisi 2025 yang bertemakan ‘Under The Star’ terus menjadi platform penting bagi menghimpunkan karya-karya terbaik dari seluruh Asia Tenggara, mengiktiraf bakat, kreativiti, dan pencapaian sinematik yang memberi inspirasi kepada penonton serantau. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments