A2O MAY
KUMPULAN gadis generasi baharu, A2O MAY, tampil berani dengan pelancaran album sulung mereka berjudul Paparazzi Arrive, yang kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.
Album 14 lagu ini bukan sekadar memperkenalkan genre asal ciptaan A2O Entertainment iaitu Zalpha Pop, gabungan gaya dan tenaga antara Generasi Z serta Alpha, tetapi juga menyerlahkan keupayaan muzik kumpulan ini yang pelbagai melalui gabungan lagu pra-debut, persembahan unit dan solo bertenaga.
Awal tahun ini, A2O MAY yang dianggotai lima gadis manis iaitu Chenyu, 17; Shijie, 18; Quchang, 18; Miche, 20; dan Kat, 20, berjaya mencuri perhatian dunia apabila menjadi kumpulan idola China pertama membuat persembahan di festival terkenal iHeartRadio Wango Tango.
Ia bukan sahaja menandakan debut pentas mereka di Amerika Syarikat, malah turut disiarkan secara langsung di stesen televisyen KTLA menjadikan detik tersebut satu pencapaian bersejarah buat A2O MAY.
Energi Baharu Dalam Dunia Zalpha Pop
Album debut Paparazzi Arrive menampilkan lagu utama dengan judul sama, menonjolkan identiti muzik A2O MAY yang unik berteraskan siren-like synth riff dan rentak elektro-dubstep yang memukau. Lagu ini menyampaikan mesej tentang keyakinan dan cita-cita besar melalui vokal dinamik setiap ahli.
Selain itu, album ini turut memuatkan lagu pra-debut mereka iaitu Under My Skin (A2O), B.B.B, Boss serta balada R&B penuh jiwa berjudul Melody yang memperlihatkan kepelbagaian warna muzik kumpulan ini.
Turut disertakan ialah beberapa lagu solo dan kolaborasi unit iaitu Miche dan Kat yang menampilkan Sweat, sebuah lagu berinspirasikan Latin yang dirakam dalam versi bahasa Inggeris dan Sepanyol.
Chenyu pula menyentuh hati dengan Someone You Loved, Quchang menonjolkan kekuatan vokal dalam Black Sheep, manakala Shijie membawa nuansa R&B lembut menerusi Trip.
Sejak beberapa bulan lalu, A2O MAY sudah mencipta rekod luar biasa di pasaran muzik Amerika Syarikat. Lagu pra-debut mereka Under My Skin menjadikan mereka kumpulan dari China pertama menembusi carta U.S. Top 40 Radio, kekal selama dua minggu berturut-turut.
Sementara single rasmi Boss terus mengukuhkan nama kumpulan ini dengan kekal lima minggu dalam carta sama, naik dari tangga ke-35 ke #32, sekali gus menjadi kumpulan gadis China pertama dalam sejarah mencapai kedudukan setinggi itu.
Kejayaan tersebut turut disokong oleh lebih 30 juta tontonan di Weibo dan YouTube, sebahagiannya didorong oleh Jump Rope Dance dalam korus lagu Boss yang tular di media sosial.
Melebarkan Pengaruh
Kini, dengan peningkatan peminat di Asia dan Amerika Utara, A2O MAY semakin diiktiraf sebagai kuasa baharu dalam arena pop global.
Di bawah naungan A2O Entertainment dan tunjangan pengasas K-pop legenda Lee Soo Man, A2O MAY menjadi kumpulan pertama yang sepenuhnya menggambarkan konsep Zalpha Pop, sebuah gabungan antara kepekaan emosional Gen Z dan kreativiti spontan Gen Alpha.
Muzik mereka memadukan produksi futuristik dengan penceritaan yang menyentuh emosi, membentuk jambatan budaya melalui bunyi dan gaya yang segar.
Sebagai tanda pengiktirafan kepada debut luar biasa mereka, A2O MAY turut dijemput menghadiri tayangan perdana dokumentari Lee Soo Man: King of K-Pop, anjuran Amazon Studios di Los Angeles.
Kehadiran mereka di acara karpet merah berprestij itu di samping bintang seperti ahli Girls’ Generation dan Taemin (SHINee) membuktikan bahawa kumpulan ini kini bersedia melangkah ke peringkat global dengan keyakinan penuh.
Album Paparazzi Arrive menampilkan senarai lagu yang terdiri daripada Paparazzi Arrive (English), B.B.B (Bigger Badder Better: Feat. A2o Ltg), Boss, Under My Skin (A2O), Paparazzi Arrive (Chinese Ver.), B.B.B (Chinese Ver.), Boss (Chinese Ver.), Under My Skin (A2O: Chinese Ver.), Sweat (Miche & Kat), Sweat (Miche & Kat: Spanish Edit), Melody (Chenyu & Shijie & Quchang), Someone You Loved (Chenyu), Black Sheep (Quchang) dan Trip (Shijie).
Dengan segala pencapaian luar biasa yang diraih hanya dalam tempoh beberapa bulan ini, A2O MAY jelas bukan sekadar pendatang baharu di dunia muzik global tetapi mereka sedang membina legasi tersendiri yang melangkaui sempadan bahasa dan budaya. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments