BINTANG terkenal, penyanyi dan pelakon Ariana Grande berdepan detik cemas apabila seorang peminat lelaki tiba-tiba meluru dan merangkul bahunya secara agresif pada acara tayangan perdana filem terbaharu, Wicked: For Good di Resorts World Sentosa, Singapura pada Khamis.
Acara yang sepatutnya menjadi momen paling manis di karpet merah itu sekelip mata bertukar menjadi detik penuh ketegangan, mencetuskan kebimbangan ramai.
Ketika kejadian berlaku, Ariana bersama tiga lagi pelakon filem terbabit iaitu Cynthia Erivo, Tan Sri Michelle Yeoh dan Jeff Goldblum sedang berjalan di karpet merah sebelum lelaki terbabit meluru ke arahnya yang memegang watak Glinda.
Mujur Cynthia pantas bertindak dan segera melindungi Ariana, sekali gus menenangkan bintang berusia 32 tahun itu yang kelihatan terkejut dan terpinga-pinga dengan apa yang berlaku.
Meskipun insiden tersebut mengejutkan ramai dan mencetuskan kebimbangan pada tahap keselamatan barisan artis yang hadir, tayangan perdana filem itu tetap diteruskan tanpa sebarang gangguan.
Suasana kembali tenang dan membolehkan barisan pelakon meneruskan sesi interaksi bersama peminat menerusi aktiviti yang telah dijadualkan.
Bagaimanapun, difahamkan lelaki dipercayai warganegara Australia itu sudahpun dibebaskan oleh pihak berkuasa Singapura. Tanpa rasa bersalah, dia turut memuat naik hantaran dan video berkitan insiden tersebut di laman Instagramnya.
Kejadian ini bukan sahaja menarik perhatian ramai, tetapi juga memicu perbincangan hangat di media sosial mengenai keselamatan selebriti, khususnya ketika hadir di acara yang menjadi tumpuan utama media dan peminat.
Insiden ini mengingatkan bahawa di sebalik glamor karpet merah, setiap detik boleh membawa risiko, menekankan kepentingan langkah keselamatan yang ketat untuk melindungi bintang-bintang terkenal.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments