Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Dolla Kembali Dengan ‘Question’: Lagu Konfrontasi Yang Penuh Tenaga & Emosi

Angle, Tabby dan Sabronzo berharap single Question diterima baik peminat

MENERUSKAN kecintaan terhadap karya yang segar dan bertenaga, kumpulan gadis sensasi Dolla kembali mencuri perhatian dengan single terbaharu berjudul Question, yang baru sahaja dilancarkan pada 6 November lalu.

Lagu pop sarat emosi ini membawa pendengar menyelami perasaan sebenar pengkhianatan, patah hati dan keberanian untuk berdepan dengan diri sendiri.

Menurut Dolla yang dianggotai Tabby, Sabronzo dan Angel, pada pendengaran pertama, Question mungkin kedengaran seperti lagu mengenai kecurangan pasangan.

Namun, di sebalik naratif itu tersembunyi makna yang lebih mendalam tentang proses berhadapan dengan kesakitan, kelemahan dan pergelutan emosi selepas dikecewakan oleh insan yang dicintai.

“Lagu ini tentang perasaan berdepan dengan pasangan yang curang, tetapi pada intinya, ia tentang berdepan dengan perasaan sendiri. Tentang membenarkan diri untuk rasa sedih dan terdedah, untuk jujur dengan emosi tanpa menyembunyikannya,” jelas Dolla.

Ditulis bersama oleh Justin Seow, Kuizz, Aziz Harun serta anggota Dolla sendiri, Question mempamerkan kematangan kumpulan ini melalui gabungan penceritaan lirik kuat dan melodi yang mudah diingati.

Menurut Tabby, mereka tertarik dengan demo asal yang diberi oleh Kuizz dan Justin kerana mempunyai korus yang 'catchy' dan bertenaga.

“Kami mencari sesuatu yang lebih lirikal dan mudah dikaitkan kali ini. Beberapa bahagian instrumental dan lirik turut diubah suai untuk memastikan emosi benar-benar menyerlah.

"Bekerja dengan mereka di studio memang menyeronokkan dan keseluruhan prosesnya sangat mengujakan,” katanya.

Karya yang digubah dan disusun oleh Justin Seow serta Kuizz ini mengekalkan bunyi pop khas Dolla, namun hadir dengan kedalaman emosi yang baharu. Ia menggambarkan naratif tentang menemukan semula kekuatan selepas patah hati, satu tema yang dekat dengan jiwa pendengar muda masa kini.

Menambahkan impak single ini ialah koreografi tarian bertenaga yang menggambarkan semangat berani dan yakin selari dengan mesej lagu.

Sabronzo berkongsi, proses mencipta gerakan tarian bagi Question dilakukan secara kolaboratif dengan Akkaraphol Prompen, koreografer berbakat dari Thailand.

“Gayanya menggabungkan pergerakan feminin dengan formasi unik dan peralihan terancang yang sepadan dengan tenaga lagu ini. Kami mahu tarian ini kelihatan meyakinkan, tetapi tetap menyeronokkan.

"Pada akhirnya, kami memberi ruang kepada Earth-E untuk menonjol dengan gayanya tersendiri,” ujarnya.

Visual Retro, Tenaga Baharu

Melengkapkan pelancaran single ini, Dolla turut mempersembahkan muzik video (MV) yang berani dan memukau secara visual. Berlatarkan suasana diner retro, penggambaran dilakukan di Fowlboys, The Campus dengan jadual padat di luar waktu operasi lokasi tersebut.



Menurut Angel, MV ini menampilkan jalan cerita yang lebih dramatik dan berbeza daripada karya terdahulu.

“Kami menampilkan seorang pelakon lelaki yang memegang watak teman lelaki Dolla, yang curang dengan semua anggota.

"Visualnya menggambarkan sisi kami yang lebih berani dan suka bermain apabila berkonfrontasi dengannya, siap menyeret versi mininya,” katanya.

Melalui visual yang penuh gaya dan simbolik, Dolla menukar rasa dikhianati menjadi lambang kekuatan, disampaikan dengan keyakinan serta gaya khas mereka.

Menutup tahun 2025 dengan momentum yang tinggi, kumpulan ini kini bersiap sedia untuk tahun 2026 yang lebih besar dan bermakna.

“Perancangan kami untuk tahun 2026 termasuk melancarkan album baharu Dolla dan mengembangkan karier ke seluruh Asia Tenggara.

"Kami sangat teruja untuk berkongsi lebih banyak muzik dan berhubung dengan peminat di luar Malaysia,” kongsi Angel.

Sebelum menutup tirai tahun ini, peminat boleh menyaksikan Dolla secara langsung menerusi konsert Good Girls Gone Bad, yang dijadualkan berlangsung pada 6 Disember depan, sebuah pentas yang pasti menampilkan sisi paling berani dan penuh tenaga daripada kumpulan ini. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments