Hot Posts

6/recent/ticker-posts

ROSALÍA Kembali Dengan Album Terbaharu ‘LUX’ - Eksperimen Muzik Paling Mendalam

Rosalía | KREDIT FOTO: Noah Dillon

PENYANYI, penulis lagu dan penerbit yang pernah memenangi anugerah GRAMMY, Rosalía, kembali mencuri perhatian dengan pelancaran album terbaharunya yang dinanti ramai berjudul LUX.

Album keempatnya ini dilancarkan di bawah Columbia Records dan menampilkan sisi paling eksperimental serta mendalam dalam perjalanan muzik artis asal Sepanyol itu.

Dirakam bersama London Symphony Orchestra di bawah pimpinan Daníel Bjarnason, LUX menonjolkan kolaborasi vokal feminin yang luar biasa, termasuk Björk, Carminho, Estrella Morente, Silvia Pérez Cruz, Yahritza, serta gabungan korus Escolania de Montserrat i Cor Cambra Palau de la Música Catalana, dan artis avant-garde Yves Tumor.

Hasilnya ialah karya yang melangkaui batas genre di mana gabungan bunyi klasik, unsur opera, dan kepelbagaian bahasa yang menjadikan LUX satu pengalaman sonik yang agung dan unik.

Kritikan Hangat & Kejayaan Awal

Sejurus dilancarkan, LUX terus menerima pujian tinggi daripada pengkritik muzik antarabangsa. Rolling Stone memberikan penarafan lima bintang dan menyifatkan album ini sebagai “tawaran paling menakjubkan Rosalía setakat ini,” dengan penulisan yang memuji kemampuan artis itu menggabungkan bunyi klasik, rujukan opera, dan 13 bahasa berbeza menjadi satu karya seni yang 'abadi dan menakjubkan'.

Associated Press pula menyifatkan LUX sebagai 'keajaiban fonetik', menyatakan bahawa “jika ada satu elemen avant-garde yang menyelamatkan landskap muzik pop, inilah dia,” dengan penarafan 4.5 daripada lima bintang.

Rosalía mula memperkenalkan album ini melalui single berjudul Berghain, karya orkestra megah yang turut hadir dengan video muzik arahan Nicolás Méndez daripada produksi Canada, kolaborator lama yang juga mengarahkan video ikonik seperti Malamente, TKN dan Pienso En Tu Mirá.

Dihasilkan di Warsaw, Poland, video tersebut memaparkan kisah seorang wanita yang berdepan duka mendalam dan berusaha menyembuhkan hati yang patah, sebelum akhirnya menemui ketenangan melalui spiritualiti dan keyakinan diri.

 KREDIT FOTO: Noah Dillon

Pada 5 November lalu, Rosalía mengadakan acara eksklusif di MNAC, Barcelona, kota kelahirannya bagi mempersembahkan album LUX secara penuh buat kali pertama di hadapan rakan-rakan dan peminat terdekat.

Edisi fizikal dalam format CD dan vinil turut disertakan dengan tiga lagu eksklusif, memberikan pengalaman paling imersif kepada pendengar setia.

Senarai penuh lagu dalam LUX termasuk Sexo, Violencia y Llantas, Reliquia, Divinize, Porcelana, Mio Cristo Piange Diamanti, Berghain, La Perla, Mundo Nuevo, De Madrugá, Dios Es Un Stalker, La Yugular, Focu ’ranni (Eksklusif Fizikal), Sauvignon Blanc, Jeanne (Eksklusif Fizikal), Novia Robot (Eksklusif Fizikal), La Rumba Del Perdón, Memória dan Magnolias.

Rosalía Sebagai Ikon Fesyen dan Budaya Global

Di luar dunia muzik, Rosalía terus mengukuhkan statusnya sebagai ikon budaya dan fesyen global. Kemunculannya di Met Gala 2025 dalam gaun Balmain rekaan khas mencuri tumpuan seluruh dunia dan mendapat liputan meluas media.

Tahun ini juga menyaksikan bintang berusia 33 tahun itu, membintangi kempen Calvin Klein Fall 2025, selain meneruskan peranan sebagai duta global New Balance.

Tidak terhenti di situ, Rosalía turut bersedia untuk membuat debut lakonan dalam musim ketiga Euphoria yang dijangka ditayangkan pada 2026.

Sebagai penerima dua anugerah GRAMMY dan 13 anugerah Latin GRAMMY, Rosalía kekal sebagai antara artis paling berani dan berpengaruh dalam landskap muzik moden.

Kejayaannya melalui album El Mal Querer menjadikannya artis berbahasa Sepanyol pertama yang dicalonkan dalam kategori Best New Artist di GRAMMYs.

Sementara itu, album Motomami yang dilancarkan pada 2022 terus memperkukuh reputasinya sebagai penerbit dan penggiat muzik global yang berani bereksperimen dengan debut di tempat pertama carta Spotify Global Album serta meraih skor tertinggi di Metacritic untuk tahun tersebut.

Dengan LUX, Rosalía bukan sekadar menghasilkan karya, tetapi sebuah perjalanan emosi dan spiritual yang menggabungkan kekuatan vokal, seni klasik, dan keberanian untuk terus bereksperimen di luar batas pop konvensional.

Ia menandakan evolusi seorang artis yang kini berada di puncak kreativiti dan ekspresinya, sekali gus menjadikan album ini bukan sekadar muzik, tetapi sebuah karya seni yang menyalakan cahaya baharu dalam kariernya.  - 7KLIK

**Avant-garde merujuk kepada idea, karya, atau gaya yang sangat inovatif, eksperimental, atau melampaui norma biasa.


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments