Hot Posts

6/recent/ticker-posts

'Dansa'- Seruan Ernie Zakri Untuk Raikan Hidup Walau Dalam Kesedihan

Ernie Zakri |

SENTIASA selangkah ke hadapan dalam membina perjalanan seninya, Ernie Zakri terus membuktikan kematangan sebagai penyanyi yang bukan sekadar bersuara hebat, tetapi juga berjiwa kreatif.

Kali ini, pemilik nama penuh Nur Ernie Shahirah Zakri ini tampil dengan single terbaharu berjudul Dansa, sebuah karya pop funky yang penuh warna dan tenaga baharu.

Menariknya, lagu ini merupakan hasil ciptaan bersama Ernie sendiri bersama komposer dan penerbit muzik prolifik, John Jeeves, yang turut bertanggungjawab menerbitkan keseluruhan lagu.

Dansa membawa pendengar menyelami sisi baharu Ernie yang lebih moden, eksperimental dengan mesej positif tentang meraikan kehidupan, walau dalam duka sekalipun.

“Emosi yang ingin saya sampaikan adalah bahawa kita boleh ‘menari jauh’ daripada segala kerisauan. Dalam kehidupan, kadangkala kita terlalu dibebani tekanan sehingga lupa untuk menikmati dan menghargai apa yang berada di hadapan mata,” ujar Ernie tentang inspirasi di sebalik lagu ini.

Keserasian Kreatif & Sentuhan Baharu

Dalam proses penulisan dan penerbitan, kerjasama erat antara Ernie dan John Jeeves memperlihatkan keserasian kreatif yang tinggi.

Menurut Ernie, pengalaman bekerjasama dengan John sentiasa memberi ruang untuk idea mengalir dengan semula jadi.

“Aliran idea kami sangat lancar. Proses menulis lirik pun tidak mengambil masa lama kerana saya sudah jelas dengan hala tuju lagu ini.

"Saya berharap Dansa dapat membantu pendengar melupakan kesedihan, walau seketika, dan menikmati setiap detik yang hadir,” katanya, yang juga ibu kepada seorang cahaya mata.


Dansa memperlihatkan sisi Ernie yang lebih berani bereksperimen dengan bunyi funky dan groove moden, tanpa meninggalkan identiti pop yang sinonim dengannya.

Walaupun berteraskan pop, lagu ini tampil lebih segar dan kontemporari, sesuai dengan evolusi Ernie sebagai artis serba boleh.

Pemenang tiga kali kategori Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu itu turut mendedahkan perancangannya untuk menyertakan Dansa dalam album terbaharunya, Sahabat.

“Saya mahu album ini tampil dengan variasi konsep yang menarik, agar setiap pendengar dapat menikmati sesuatu yang berbeza,” jelasnya.

Dengan kekuatan vokal yang menggetarkan jiwa, mesej positif yang menyentuh emosi dan susunan muzik yang dinamik, Dansa bukan sekadar sebuah lagu tetapi simbol kematangan dan keyakinan baharu Ernie Zakri dalam perjalanan seninya.

Dansa kini boleh didengarkan di semua platform digital. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments