INDUSTRI muzik tempatan kehilangan seorang lagi insan seni apabila komposer dan pemuzik berpengaruh, Ross Ariffin, meninggal dunia pada petang Sabtu.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 63 tahun di Rumah Seri Kenangan, Cheras, tempat yang menjadi kediamannya sejak November tahun lalu.
Pemergian Ross dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menerusi satu hantaran di Instagram.
"Saya sangat berdukacita menerima khabar pemergian seorang seniman tanah air, Ross Ariffin, petang tadi. Berita tersebut disampaikan pihak Rumah Seri Kenangan Cheras yang menjadi tempat tinggal Allahyarham Ross sejak November tahun lalu.
"Uncle Ross merupakan komposer yang telah banyak menyumbang kepada industri muzik tempatan," tulisnya.
Dalam hantaran sama, Fahmi berkongsi pernah beberapa kali bertemu Allahyarham ketika hayatnya. Menurutnya, meskipun melalui cabaran hidup yang berat, Ross kekal tabah sebagai seorang anak seni.
“Beliau berdepan dengan kehidupan yang mencabar, namun tetap tabah meneruskan perjalanan... Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah,” katanya.
Dari Dunia Orkestra ke Realiti Jalanan
Ross Ariffin, atau nama penuhnya Roslan Ariffin Jamil, sebelum ini pernah menggemparkan dunia hiburan apabila kisah hidupnya sebagai gelandangan mendapat perhatian meluas.
Kisah kehidupan Allahyarham menjadi tular apabila dia ditemui berjalan seorang diri tanpa arah tujuan dan sering berada di sekitar Pasar Seni dan juga Melaka.
Pada Februari tahun lalu, media melaporkan arwah Ross akhirnya berjaya keluar daripada status gelandangan apabila menerima kediaman projek perumahan rakyat (PPR) Muhibbah di ibu kota atas peruntukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas kisah hidupnya yang menyayat hati itu mendapat perhatian ramai.
Namun sebelum episod gelap itu, Ross merupakan nama besar dalam dunia muzik tanah air. Allahyarham pernah menyumbangkan karya kepada ramai penyanyi ternama seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Fauziah Latiff, Datuk Aishah, Liza Aziz, Jaclyn Victor dan Ning Baizura.
Antara lagu-lagu popular ciptaannya termasuk
Dia, nyanyian (Fauziah Latiff),
Kurniaan Dalam Samaran (Siti Nurhaliza),
Kemaafan Dendam Yang Terindah (Aishah) serta
Kau dan Aku (Ning Baizura), yang pernah memenangi Anugerah Juara Lagu bagi kategori Pop Rock pada tahun 1995.
Selain bergelar komposer, Allahyarham juga merupakan pemain biola berbakat yang pernah menyertai orkestra di London dan aktif sebagai pemuzik undangan.
Pemergian Ross Ariffin bukan sekadar kehilangan seorang penggubah lagu, tetapi juga hilangnya seorang seniman sejati yang pernah mewarnai industri muzik tanah air dengan karya penuh jiwa, walaupun kehidupannya sendiri tidak selalu semanis melodi yang diciptanya.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments