DUNIA gusti profesional kehilangan salah satu ikon terbesarnya apabila legenda WWE, Hulk Hogan, meninggal dunia dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Clearwater, Florida, Amerika Syarikat (AS) pagi Khamis (waktu tempatan).
Hogan atau nama sebenarnya Terry Gene Bollea menghembuskan nafas terakhir pada usia 71 tahun dipercayai akibat serangan jantung.
Berita itu disahkan menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh World Wrestling Entertainment (WWE) di platform media sosial X, yang turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga serta peminat mendiang.
“WWE dukacita memaklumkan bahawa Ahli Dewan Kemasyhuran WWE, Hulk Hogan, telah meninggal dunia.
“Sebagai antara figura paling ikonik dalam budaya pop, Hogan memainkan peranan penting dalam membawa WWE ke peringkat antarabangsa pada era 1980-an," ujar kenyataan itu di platform media sosial X.
Laporan media tempatan menyatakan bahawa pasukan perubatan dikejarkan ke rumah Hogan selepas menerima panggilan kecemasan. Namun, dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Difahamkan, Hogan telah mengalami komplikasi kesihatan sejak beberapa minggu lalu susulan beberapa siri pembedahan. Malah, pada awal minggu ini, media melaporkan mendiang tidak dapat bercakap dan perlu dipantau rapi oleh petugas perubatan selepas mengalami reaksi buruk pasca pembedahan.
Ikon Gusti, Ikon Budaya
Hogan bukan sahaja menjadi simbol gusti profesional di AS, malah mencipta fenomena global hasil gaya persembahan yang penuh karisma serta penampilan yang mudah dikenali iaitu rambut perang panjang, misai lebat dan baju koyak ‘Hulkamania’.
Hogan memulakan kerjayanya pada tahun 1977 dengan nama The Super Destroyer, sebelum mengadaptasi nama Hulk Hogan yang kemudiannya melonjakkan popularitinya sepanjang era 1980-an hingga 1990-an.
Pemergian Hulk Hogan mencetuskan gelombang penghormatan dan ucapan takziah dari seluruh dunia. Ramai peminat, selebriti dan tokoh dalam industri gusti berkongsi kenangan serta penghargaan terhadap legasi yang ditinggalkan.
Bagi peminat, Hogan bukan sekadar penggusti tetapi dia adalah simbol zaman kegemilangan WWE, lambang kekuatan dan inspirasi, dan wajah utama yang memperkenalkan gusti profesional ke arus perdana hiburan dunia. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments