Ramadan Penuh Makna, Syawal Sarat Nostalgia — RTM Tampilkan Deretan Program Istimewa


SETIAP kali Ramadan menjelang, suasana menjadi lebih tenang dan penuh makna, dengan tumpuan yang kembali kepada ibadah, refleksi diri dan kebersamaan keluarga.

Selari dengan semangat itu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengangkat tema 'Puasa Tetap Puasa, Raya Tetap Raya' sebagai simbol keseimbangan antara penghayatan bulan suci dan kemeriahan menyambut Syawal.

Ia bukan sekadar slogan bermusim, tetapi sebuah pendekatan yang menekankan penghayatan, kesederhanaan dan kebersamaan dalam mendepani bulan penuh makna ini.

Sepanjang Ramadan hingga Aidilfitri, RTM menyusun pengisian yang pelbagai, daripada program kerohanian dan dokumentari inspirasi sehinggalah drama bersiri, telefilem dan filem blockbuster.

Kesemuanya disiarkan menerusi saluran televisyen utama serta rangkaian 34 stesen radio di seluruh negara, selain boleh distrim secara fleksibel melalui platform digital RTMKlik.

Gabungan siaran tradisional dan digital ini memperlihatkan usaha berterusan untuk kekal relevan dengan cita rasa penonton moden tanpa mengabaikan nilai tradisi.

Antara program yang kembali mencuri perhatian sepanjang Ramadan ialah Borak Dulu Baru Buka yang kini memasuki edisi keenam dan bersiaran secara langsung setiap hari pada jam 6.40 petang di TV1. Gandingan Amin Idris dan Nana Mahazan menghidupkan suasana menjelang waktu berbuka dengan perbincangan yang santai tetapi sarat pengisian.

Turut melengkapi slot pra-berbuka puasa di TV1 ialah dokumentari Nawaitu yang disiarkan setiap hari pada jam 6 petang sepanjang Ramadan, menampilkan kisah inspirasi sebenar yang dekat dengan realiti masyarakat.

Malam pertama Syawal pula diraikan dengan telefilem Malam 3 Syukur yang ditayangkan pada Hari Raya pertama, jam 9 malam di TV1. Naskhah ini membariskan pelakon seperti Jay Iswazir, Azwan Kombos, Hafidzuddin, Sahronizam Noor, Datuk Hilal Azman, Wan Hanafi Su, Elizad Sharifuddin dan Fazlina Ahmad Daud dalam kisah yang menyentuh nilai kesyukuran dan hubungan kekeluargaan.

Di TV2, kemeriahan Aidilfitri diteruskan menerusi Raya Macam Dulu, sebuah program muzikal Aidilfitri yang bersiaran pada 21 Mac, jam 9 malam dan dihoskan oleh Watie Sadali dan Fikry Ibrahim. Ia akan menampilkan barisan artis popular termasuk Datuk Nora, Azlina Aziz, Ramlah Ram, Khai Bahar, Azlan Typewriter dan Sissy Imann.

Sehari kemudian, pada 22 Mac jam 9 malam, konsert istimewa Aku Cinta Padamu Siti Nurhaliza 30 Tahun mengambil alih pentas TV2 dengan persembahan yang diiringi Orkestra RTM serta penampilan Aina Abdul dan Luca Sicktha & Kmy Kmo.

Sambutan diteruskan pada 1 April, jam 9 malam di TV2 menerusi Citra Reka Busana 2.0, sebuah persembahan berkonsepkan fashion-orchestral dan sinematik sempena ulang tahun ke-80 RTM yang menggabungkan elemen fesyen, seni dan warisan dalam satu pentas istimewa.

Di saluran BES pula, dokumentari Menyusur Takbir Di Belantara disiarkan pada 20 dan 21 Mac, jam 1.30 tengah hari, menyorot sambutan Syawal dalam komuniti Orang Asli yang diraikan dalam suasana penuh kesederhanaan.

Bagi peminat drama bersiri, TV1 menampilkan Rindu Medina setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.30 malam sepanjang Ramadan yang menampilkan Johan As’ari dan Aprena Manrose sebagai teraju utama.

Saluran Okey pula menyajikan Ferry Puasa Ke? bermula 19 Februari, setiap hari pada jam 8 malam, manakala TV2 membawa dua drama Indonesia iaitu Aku Bukan Ustazah yang bersiaran mulai 17 Februari setiap hari jam 1 tengah hari, serta Masjid Yang Tak Dirindukan mulai 18 Februari, setiap Isnin hingga Jumaat jam 9 pagi.

Selain itu, sebanyak 11 telefilem pelbagai genre turut melengkapkan jadual siaran musim ini. Di TV1, penonton boleh menyaksikan Sesumpah Neraka pada 28 Februari, Mihrab Doa (7 Mac), Anak Pak Ustaz (14 Mac), Bunga Telur Bunga Rampai (22 Mac) dan Bubur Lambuk Bahulu Bakar (25 Mac).

Sementara TV2 pula akan menyiarkan Seindah Kifarah pada 11 Mac dan Hantu Hantor Curi pada 18 Mac. Saluran Okey tidak ketinggalan dengan Lemang Emak Rendang Ibu (21 Mac), Huru-Hara Mentua Raya (22 Mac), Bagasi Raya (23 Mac) dan Cinta U (24 Mac).

Aidilfitri turut dimeriahkan dengan tayangan filem-filem popular yag pasti dinanti penonton. TV1 menampilkan Sayang Salmah pada 23 Mac, sementara TV2 membariskan Orang Kampung Otak Kimia (20 Mac), Godzilla X Kong: The New Empire (22 Mac), Yes Bos (23 Mac), Sangkar (24 Mac), The Dark Knight (27 Mac), DC League of Superpets (29 Mac) dan Sivaji the Bos (29 Mac).

Di Okey pula menampilkan Pak Tam Duda yang akan ditayangkan pada 25 Mac diikuti Zombie Kampung Pisang pada 26 Mac. Untuk penonton cilik, saluran Okey turut membawakan animasi Maimao yang mula bersiaran pada 21 Mac, setiap Jumaat hingga Ahad jam 5.30 petang, memastikan kemeriahan Ramadan dan Syawal turut dirasai oleh kanak-kanak.

Program Radio

Tradisi tahunan pendengar Radio RTM berpeluang menikmati pelbagai program menarik melibatkan kesemua 34 stesen radio RTM di seluruh negara.

Sepanjang Ramadan ini, Bahagian Program Radio RTM meneruskan tradisi penganjuran Jelajah Ramadan 2026 untuk edisi ke-14 yang telah dilancarkan pada 16 Februari lalu di Pasar Tani Kekal Datin Halimah, Larkin, Johor Bahru, Johor. Majlis penutup pula dijadualkan pada 8 Mac 2026 di Sibu, Sarawak.

Mengangkat tema Satu Suara Satu Jiwa, program ini menghubungkan komuniti di pelbagai negeri melalui siaran langsung, aktiviti lapangan dan pengisian kerohanian. Selain tazkirah, drama radio dan tadarus al-Quran, stesen-stesen radio RTM turut menyelitkan segmen kekeluargaan dan kemasyarakatan yang memperkukuh rasa empati dan solidariti.

Secara keseluruhannya, pendekatan RTM pada tahun ini tidak sekadar memenuhi jadual siaran bermusim, tetapi membina naratif Ramadan dan Syawal sebagai pengalaman kolektif.

Dalam kepelbagaian kandungan yang ditawarkan, terserlah satu benang yang menyatukan semuanya. Meraikan ibadah dengan penuh penghayatan, dan menyambut kemenangan Syawal dengan hati yang syukur serta jiwa yang kembali kepada nilai asal kebersamaan.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments