DUNIA muzik kehilangan salah satu suara paling ikonik dalam sejarah apabila legenda rock dan ikon heavy metal, Ozzy Osbourne, meninggal dunia pada usia 76 tahun.
Osbourne atau nama penuhnya John Michael Osbourne menghembuskan nafas terakhirnya pada pagi Selasa di kediaman mewah keluarga di Welders, Buckinghamshire, United Kingdom, di sisi isteri tersayang, Sharon, serta anak-anak mereka iaitu Aimee, Jack dan Kelly.
Berita pemergian penyanyi utama kumpulan legenda, Black Sabbath itu disahkan menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan keluarga mendiang pada Selasa.
“Dengan rasa duka yang tak terungkap dengan kata-kata, kami ingin memaklumkan bahawa Ozzy Osbourne telah meninggal dunia pagi ini. Dia pergi dalam dakapan keluarga, diselubungi kasih sayang. Kami mohon agar semua hormati privasi keluarga kami,” ujarnya.
Digelar 'Prince of Darkness', Osbourne bukan sekadar vokalis band ikonik Black Sabbath, tetapi adalah simbol budaya rock yang melampaui batas konvensional.
Dari aksi kontroversi menggigit kepala kelawar di atas pentas, hinggalah penampilan TV realiti 'The Osbournes' yang menampilkan kehidupannya bersama keluarga, Osbourne kekal relevan merentas generasi.
Penampilan Terakhir Di Pentas
Beberapa minggu sebelum pemergiannya, penyanyi itu sempat membuat kemunculan mengejut dalam satu konsert istimewa di kampung halamannya, Birmingham.
Osbourne kembali bergabung bersama anggota asal Black Sabbath iaitu Geezer Butler, Bill Ward dan Tony Iommi buat pertama kali dalam tempoh lebih dua dekad.
Konsert itu turut digambarkan sebagai 'penampilan terakhir' Osbourne oleh laman rasmi kumpulan tersebut, sekali gus menjadi momen penuh makna buat peminat tegar.
Kesihatan Osbourne telah merosot sejak 2019 selepas mengalami komplikasi serius akibat radang paru-paru dan beberapa siri pembedahan.
Pada tahun 2020, penyanyi itu mendedahkan kepada umum bahawa dirinya menghidap penyakit Parkinson, dan keadaan itu memaksanya untuk menarik diri daripada persembahan pentas.
Namun begitu, semangatnya tidak pernah luntur, bahkan mendiang masih mampu tampil membuat persembahan pada majlis penutup Sukan Komanwel Birmingham 2022, membuktikan bahawa jiwanya tetap milik pentas.
Sepanjang kerjayanya, Osbourne telah menerima pelbagai penghargaan termasuk tiga anugerah Grammy, dan pada tahun 2006, dia bersama Black Sabbath telah disenaraikan dalam Rock and Roll Hall of Fame, satu pencapaian yang mengukuhkan legasi mereka dalam sejarah muzik dunia.
Mendiang meninggalkan isteri, Sharon serta enam anak iaitu tiga daripada perkahwinan terdahulu, dan tiga lagi termasuk Kelly, Jack dan Aimee hasil perkahwinan dengan Sharon.
Namun, dunia turut berduka bersama mereka kerana Osbourne bukan hanya milik keluarganya, tetapi dia milik seluruh generasi peminat muzik yang membesar dengan jeritan gitar, lirik gelap, dan aura misteri yang hanya dimiliki Prince of Darkness.
Ozzy Osbourne akan terus diingati sebagai legenda yang mengubah wajah rock, heavy metal dan budaya pop global sepanjang lebih lima dekad. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments