PENYANYI kelahiran Sweden-Lubnan, Maher Zain bakal kembali ke Asia Tenggara menerusi siri konsert jelajah terbaharunya selepas enam tahun tidak membuat persembahan di Malaysia.
Dikenali dengan alunan muzik kerohanian dan mesej yang menyentuh jiwa, kepulangan Maher ke pentas Asia Tenggara ini dijangka disambut penuh keterujaan oleh para peminatnya.
Artis rakaman platinum berganda dan aktivis kemanusiaan ini dijadualkan membuat persembahan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 16 Ogos, diikuti The Star Theatre, Singapura (21 Ogos) dan Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu (23 Ogos).
Ini merupakan konsert pertama penyanyi itu di Malaysia selepas pandemik Covid-19 di mana persembahan terakhirnya di negara ini adalah pada tahun 2019.
Meski Malaysia tidak termasuk dalam jelajah global Maher Zain pada 2024, namun peminat tetap menaruh harapan dan kini penantian tersebut berakhir.
Dalam satu temubual di sidang media secara maya baru-baru ini, Maher menyatakan bahawa Malaysia merupakan bab yang sangat penting dalam kerjaya seninya dan mungkin lebih signifikan berbanding mana-mana negara lain di dunia.
“Hanya segelintir artis yang boleh menyatakan bahawa sesebuah negara telah memainkan peranan sebesar ini dalam membentuk permulaan kerjaya mereka.
"Kepada para peminat yang telah menunggu selama enam tahun, kami kembali untuk anda. Mari jadikan jelajah ini satu kenangan yang tidak akan dilupakan,” katanya.
Dengan lebih 8 juta pengikut di Instagram dan 6.2 juta pendengar bulanan di Spotify, Maher Zain kekal relevan melalui gabungan muzik rohaniah dan kontemporari yang unik.
Penonton boleh menjangkakan lagu-lagu popular seperti Insha-Allah, Baraka Allahu Lakuma dan Thank You Allah, di samping karya baharu termasuk Qalbi Fil Madinah dan Rahmatun Lil’Alameen.
Lebih daripada sekadar konsert, acara ini bertujuan meraikan perpaduan, inspirasi dan kuasa muzik yang mampu menyatukan pelbagai komuniti.
Menurut Dr. Mohd Afiq Farhan Md Hanif, wakil Barisan Pengurusan Kanan Yayasan Tengku Abdullah selaku penganjur, pihaknya percaya kepada kepentingan memupuk masyarakat yang menghargai seni, ekspresi positif dan nilai-nilai murni.
“Konsert ini bukan sahaja tentang hiburan, tetapi juga untuk menyebarkan mesej kasih sayang, kecekalan dan harapan yang melangkaui pentas.
"Kami percaya bahawa acara seperti ini mampu memberi impak mendalam serta mengingatkan kita tentang kuasa muzik yang menyembuhkan dan menyatukan,” jelasnya.
Tiga lokasi dipilih bagi memastikan peminat dari Semenanjung dan Malaysia Timur tidak terpinggir, manakala Singapura kekal sebagai antara lokasi utama berikutan sambutan luar biasa tahun lalu.
Tiket untuk konsert ini dijual pada harga bermula daripada RM158 untuk Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu, manakala tiket di Singapura bermula daripada SGD78. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments