Alhumaira bukan sekadar lagu cinta semata-mata - Lah Ahmad



MAHU terus menyampaikan mesej positif dalam karya, penyanyi Lah Ahmad tampil dengan sebuah sebuah single baharu, Alhumaira.

Istimewanya lagu berkonsepkan balada R&B itu mendapat sentuhan sepenuhnya daripada Hafiz Hamidun dengan komposisi berbeza berbanding karya-karya terdahulunya.

Lah atau nama lengkapnya Abdullah Ahmad, 43, berkata, penghasilan Alhumaira adalah sesuatu yang cukup istimewa, apatah lagi ia merupakan kolaborasi pertama dengan Hafiz.

“Ini merupakan kali pertama saya berkolaborasi dengan Hafiz sebagai penerbit dan komposer. Walaupun kami merupakan rakan industri muzik dan beberapa kali membuat persembahan bersama, namun kerjasama kali ini sangat istimewa.

“Apabila Hafiz mengirimkan demo Alhumaira, saya dapat merasakan kekuatan melodi lagu ini dan lagu ini sangat dekat dengan perasaan saya.

"Setelah berbincang melalui pihak pengurusan saya dan Hafiz, kami bersetuju untuk merakamkan lagu ini," ujarnya.



Tambah Lah, proses rakaman lagu tersebut berlangsung pada pertengahan Oktober lalu, dua minggu selepas Konsert Jatuh Cinta saya di Istana Budaya berlangsung.

Bercerita lebih lanjut tentang Alhumaira, Lah mengakui amat tertarik dengan bait-bait lirik yang terkandung dalam lagu kitu.

“Sebagai seorang penyanyi, saya akan mendalami maksud lirik yang ingin disampaikan. Setelah saya menghayati bait-bait lirik lagu ini, saya merasakan Alhumaira bukan sekadar lagu cinta semata-mata, tetapi adalah tentang kesyukuran dan kesetiaan seorang lelaki kepada wanita yang dicintainya.

“Saya juga merupakan seorang suami, jadi lagu ini begitu istimewa jika disampaikan untuk isteri tersayang. Pada saya, kelembutan seseorang wanita itu akan dikuatkan oleh janji dan setia seorang suami. Saya harap para pendengar juga dapat merasakan perasaan yang sama,” katanya.



Sementara itu, Hafiz Hamidun menyifatkan Lah Ahmad sebagai penyanyi paling tepat untuk menyampaikan lagu ciptaan terbaharunya itu kerana kualiti yang ada pada penyanyi itu.

“Ilham untuk melodi Alhumaira datang secara tidak sengaja. Setelah demo asas lagu ini selesai, saya tidak fikirkan penyanyi lain untuk menyampaikannya kecuali Lah Ahmad. Walaupun dengan kesibukan Lah Ahmad dengan persembahan dan lakonan, saya rasa tidak salah jika saya mencuba melamar diauntuk menyanyikan lagu ini.

“Pada awalnya, demo lagu ini tanpa lirik yang lengkap, kecuali perkataan ‘Alhumaira’ di bahagian chorus. Setelah Lah bersetuju untuk menyanyikan lagu ini, saya terus mengarang lirik yang sesuai untuk Alhumaira.

"Alhumaira itu bermakna putih kemerah-merahan dan melambangkan cinta dan kecantikan. Walaupun ia berasal daripada perkataan bahasa Arab, saya cuba mentafsirkan perkataan Alhumaira sebagai simbolik wanita yang disayangi, dicintai dan dikasihi," jelasnya.

Lagu Alhumaira yang diterbitkan oleh Arteffects dan diedarkan oleh Sony Music Entertainment akan berada di semua platform digital muzik seperti Spotify, Apple Music dan lain-lain mulai 24 November 2023. Lirik video rasmi pula akan disiarkan di YouTube tepat jam 12 tengahari pada hari sama. - 7KLIK



[FOTO: Arteffects]


Post a Comment

Previous Post Next Post