Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Transformasi Indah Ruhaila demi peminat



SIAPA sangka perjalanan seni penyanyi bersuara lunak, Indah Ruhaila sudah pun menjangkau 15 tahun lamanya.

Berbekalkan semangat dan cintanya terhadap bidang nyanyian, bintang asal Johor Bahru itu kembali dengan single terbaharu yang dinanti-nantikan peminatnya berjudul Indah.

Lagu tersebut merupakan karya ciptaan sepenuhnya oleh komposer Firdaus Rahmat dan diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment.

Indah atau nama sebenarnya, Siti Ruhailah Hussein, meluahkan rasa syukur apabila berpeluang untuk terus berkarya dan menampilkan buah tangan terbaharu buat para peminat yang setia menyokong kerjaya seninya.

“Alhamdulillah, saya masih lagi giat memperjuangkan bakat yang dikurniakan Tuhan dan masih lagi aktif menerima undangan nyanyian di sana-sini.

“Syukur di atas kelahiran single terbaharu ini dan yang pertama seumpamanya di bawah naungan Rocketfuel Entertainment, saya berasa terharu berbaur gembira kerana sudah lama tidak muncul dengan mana-mana lagu baharu.

“Secara jujurnya, saya agak memilih dalam penghasilan sesebuah karya kerana hendak pastikan ia betul-betul bermutu, menepati citarasa saya dan paling penting dapat menarik perhatian halwa telinga peminat serta pendengar di luar sana,” ujarnya.



Ditanya apakah maksud single baharu ini buat dirinya, Indah berkata, ia merupakan ilhamnya sendiri yang mahukan kelainan dalam komposisi melodinya. Malah ia juga seakan transformasi bagi dirinya yang merupakan penyanyi berpengalaman dan lebih matang dalam berkarya.

"Jalan cerita lagu ini datang daripada saya, setelah berbincang dengan komposer Firdaus Rahmat, hasilnya sebuah karya yang lain daripada lain dan kedengaran sedikit ‘fresh’ dan lebih kepada ‘feel’ masa kini.

“Ia menceritakan tentang kemampuan seorang wanita yang pasti beroleh kebahagiaan jika mereka mencintai diri sendiri dahulu. Kiranya seperti ‘self-love’, seterusnya perasaan indah itu akan datang dengan sendirinya," katanya.

Tambah Indah lagi, single tersebut dirakamkan dalam masa dua jam di Studio World Peace dan proses rakaman berjalan dengan lancar.

"Kali pertama mendengarnya, pendengar pasti terhibur dengan karya bernuansa pop dansa ini kerana ada patah di dalamnya yang dinyanyikan secara rap oleh saya sendiri, selain menyuntik kelainan yang dimahukan dan menjadikannya lebih tersendiri.

“Setelah sekian lama saya tidak hadir dengan mana-mana lagu baharu, saya anggap ini sebagai hadiah melepaskan kerinduan peminat yang sudah lama menunggu. Jangan lupa menyaksikan muzik video Indah di YouTube nanti yang berkonsep minimalis dengan elemen yang ‘indah-indah’ sahaja.

“Saya berharap supaya Indah dapat diterima oleh semua, terutamanya peminat saya dan pelbagai penggemar muzik tanah air, tidak mengira peringkat umur," katanya penuh harap.



Lagu Indah kini boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Sementara itu, muzik video single ini boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Rocketfuel Network. - 7KLIK

[FOTO: Rocketfuel Entertainment]





Post a Comment

0 Comments