Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Dedikasi Ernie buat peminat, album Aura tampilkan 10 lagu terbaik


PENANTIAN panjang Ernie Zakri menemui penghujungnya apabila akhirnya tampil dengan album terbaharu, Aura. Setelah memberi gambaran sedikit demi sedikit lewat wadah media sosialnya beberapa minggu lalu, album solo pertamanya di bawah Universal Music Malaysia ini akhirnya menemui peminat.

Aura merupakan sebuah album yang membawa pesan tentang peneguhan diri dan sikap positif dalam diri seseorang, yang mana ia diolah khas oleh Ernie sendiri untuk memberi keyakinan kepada mereka yang rasa terluka dalam menjalani kehidupan harian.

Album ini mengajak pendengar untuk menghayati aura yang ada pada diri sendiri, sambil mengingatkan bahawa setiap yang berlaku dalam hidup ini adalah takdir yang sudah tersusun dan bertujuan memberikan kesedaran untuk menerima segala kekurangan tanpa rasa takut.

Menururut Ernie atau nama lengkapnya, Ernie Shahirah Zakri, 31, Aura sangat istimewa kerana ia menceritakan tentang sumber kekuatan seseorang.

"Semua lagu dalam album ini berkisahkan nasihat, motivasi dan sumber kekuatan untuk insan yang memerlukan semangat. Sebagai pembuka cerita kepada album ini, lagu berjudul Masing-Masing diberi penghormatan menjadi single pertama untuk memperkenalkan Aura. Masing-Masing adalah sebuah lagu galau yang bertemakan putus cinta. Digubah dan ditulis oleh Ade daripada kumpulan Govinda bersama Nabila V, lagu ini mempunyai jalan cerita tersendiri.

"Saya dan Mas Ade bersependapat untuk menghasilkan lagu galau dengan kisah putus cinta yang sedikit berbeza. Masing-Masing mengisahkan pasangan yang terpaksa teruskan kehidupan mereka dengan cara berpisah demi mencari kebahagiaan diri sendiri.

"Tidak semua perpisahan tentang pertengkaran atau pergaduhan. Ada perpisahan yang berlaku atas persetujuan kedua-dua pihak demi mencapai kebahagiaan sendiri. Saya tahu ramai rakyat Malaysia yang suka lagu galau sebegini,” ujarnya.


Tambah isteri kepada penyanyi Syamel itu lagi, lagu Masing-Masing menjalani proses rakaman di Yogyakarta, Indonesia dan proses rakamannya berjalan dengan begitu lancar.

"Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan mudah. Kami hanya mengambil masa sehari untuk rakaman. Buat video muzik pula hanya perlukan setengah hari sahaja untuk penggambaran.

"Video muzik yang berkonsep penuh kesenian itu menampilkan dua orang penari yang menyampaikan jalan cerita secara simbolik lewat setiap pergerakan yang ditampilkan dalam bentuk seni tari.

"Setiap gerak tari ada maknanya. Misalnya ada babak mereka jatuh, itu ada maksud simbolik yang tersirat tentang mesej yang disampaikan dalam lagu itu," jelasnya.

Selain Masing-Masing, album Aura turut menampilkan lagu-lagu seperti Intro Buat Kamu yang merupakan ciptaan dan lirik sepenuhnya oleh Ernie dan John Jeeves, Aura (Ernie Zakri, John Jeeves, Firdaus Rahmat), Terima Seadanya (Mage & Faizal Tahir), The Best (Firdaus Rahmat, John Jeeves, Shazriq Azeman), Gelita (Slen Fadzil, Helen Yap/Slen Fadzil), Tercipta Sempurna (Ezra Kong), Jangan Hilang Percaya (Syamel, Jiwa/Syamel), Satu Cinta (Amylea Azizan) dan Persis Katarsis (Aubrey Suwito/Rozi Sangdewi).




Album Aura menampilkan 10 buah lagu dan membabitkan ramai komposer serta penerbit telah mengambil masa sekitar setahun disebabkan Ernie mempunyai beberapa permintaan khas.

“Saya yang meminta sendiri lagu daripada penulis serta pencipta terbabit dalam album ini. Proses rakaman kesemua lagu juga memakan waktu sekitar tiga hingga empat bulan untuk disiapkan.

"Jadi saya harap para pendengar akan dapat memahami apa yang saya cuba sampaikan dalam album ini. Semoga ia menjadi teman buat mereka yang memerlukan semangat serta kekuatan itu,” kata Ernie penuh harap.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, menzahirkan keyakinan terhadap kemampuan dan potensi Ernie Zakri untuk meluncur lebih jauh dalam kareer muziknya di bawah label itu. 

“Kami mempunyai perancangan rapi untuk memastikan nama Ernie Zakri bukan sahaja terpahat di hati peminat Malaysia, malah di rantau ini terutamanya Indonesia.

"Selain menghasilkan karya muzik yang berkualiti untuk para peminat, Ernie juga akan berkolaborasi bersama beberapa jenama tempatan sebagai salah satu strategi mengembangkan kariernya," katanya.

Aura kini boleh didapati di semua platform digital muzik, manakala video muzik lagu Masing-Masing pula menerusi saluran YouTube Universala Music.


[KREDIT: Universal Music Malaysia]









Post a Comment

0 Comments