Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Didi & Friends Cipta Rekod MBOR Bersama 2,172 Kanak-Kanak!


JENAMA kesayangan ramai, Didi & Friends, kini secara rasminya tercatat dalam Malaysia Book of Records bagi kategori ‘Penyertaan Kanak-Kanak Teramai Dalam Acara Penceritaan’ dengan kehadiran luar biasa seramai 2,172 orang kanak-kanak dalam satu sesi penceritaan yang penuh warna-warni dan bermakna.

Acara bersejarah ini berlangsung hasil kerjasama bersama Al-Kauthar Eduqids, sempena karnival Al-Kauthar Eduqids Sports Carnival with Friends 2025, sebuah sambutan yang menyatukan elemen pembelajaran, keseronokan dan semangat komuniti.

Sesi penceritaan menampilkan kisah klasik Arnab dan Kura-Kura, yang dimulakan dengan gaya naratif oleh guru dan kemudian dihidupkan dalam versi ceria dan interaktif oleh Abang Pa’an, figura yang sentiasa menceriakan suasana dengan energi positifnya.

Rekod rasmi ini diserahkan kepada Didi & Friends, yang merupakan harta intelek milik bersama Astro dan Warnakala Studios.

Walaupun jumlah rasmi dicatatkan sebanyak 2,172 penyertaan, aktiviti penceritaan diteruskan sepanjang hari dan berjaya melibatkan lebih 6,000 kanak-kanak secara keseluruhan.

Sementara itu, karnival ini sendiri menerima kunjungan lebih 20,000 pengunjung yang membanjiri Hall C, MAEPS Serdang, termasuk ibu bapa dan ahli keluarga.

Acara ini turut menjadi titik permulaan bagi pelancaran kempen DDF Story Time, sebuah inisiatif yang bertujuan menyemai rasa cinta terhadap pembacaan dan keseronokan bercerita dalam kalangan anak-anak sejak kecil lagi.

Menyatukan Komuniti

Sebagai sebahagian daripada kempen ini, Didi & Friends turut membuat kemunculan istimewa di acara Sambutan Minggu Perpaduan 2025 Peringkat Kebangsaan, yang berlangsung pada hujung minggu yang sama di Perkarangan Stadium Negeri Pulau Pinang, memberikan peluang kepada peminat kecil untuk bertemu watak-watak kegemaran mereka secara langsung.



Naib Presiden Kanan GenNext Studios, Edison Cheam, berkata, pihaknya sangat komited untuk memupuk rasa cinta terhadap pembelajaran dan pembacaan dalam kalangan kanak-kanak.

"Menerusi platform kami serta kerjasama bersama IP kandungan seperti Didi & Friends, kami berusaha menyebarkan nilai-nilai positif dan menginspirasikan tabiat murni sepanjang hayat yang akan memberi manfaat kepada generasi masa depan," katanya.

Pencapaian luar biasa ini menjadi bukti kuat tentang kekuatan sebuah cerita, bagaimana ia mampu menyatukan komuniti dan membakar imaginasi anak-anak di seluruh negara.

Didi & Friends Story Time disiarkan setiap Jumaat, jam 11 pagi. Anda boleh menontonnya di Astro Ceria, atau strim secara fleksibel melalui Astro On Demand, Astro GO dan Sooka. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments