SELEPAS mencipta kejayaan luar biasa di pawagam, filem aksi blockbuster Blood Brothers: Bara Naga bakal ditayangkan secara global menerusi Netflix bermula 10 Ogos 2025.
Filem ini mengangkat kisah penuh pengkhianatan, pengorbanan, dan persaudaraan yang teruji. Ia mengisahkan Ariff (lakonan Syafiq Kyle), seorang pengawal peribadi elit yang terperangkap dalam pertempuran maut selepas difitnah atas satu jenayah.
Lebih tragis apabila sahabat karibnya sendiri, Ghaz (Sharnaaz Ahmad), menjadi musuh utama yang ingin menjatuhkannya. Kisah ini menjadi semakin tegang apabila kepercayaan dan kesetiaan diuji dalam dunia penuh pengkhianatan.
Filem arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Shukri Yahaya, Amelia Henderson, Syazwan Zulkifly, Andy Teh, Irfan Zaini, Wan Hanafi Su dan Zamarul Hisham.
Syafiq mengakui teruja filem arahannya ini bakal ditayangkan di Netflix.
"Blood Brothers: Bara Naga dihasilkan dengan penuh semangat dan harapan agar penonton seluruh dunia dapat menikmatinya. Ia juga memberi peluang kepada penonton Malaysia yang terlepas tayangan di pawagam,” ujarnya.
"Sebagai pengarah dan penulis bersama, saya dan Syafiq amat teruja untuk berkongsi karya ini dengan penonton global. Dengan pasukan produksi seramai 200 orang rakyat Malaysia, filem ini dihasilkan selama dua tahun dengan penuh cinta dan kini menjadi filem aksi paling berjaya tahun ini,” katanya.
Sementara pelakon utamanya, Sharnaaz Ahmad, pula menyifatkan ia sebagai satu penghormatan buat dirinya.
“Ia satu penghormatan untuk kami yang terlibat dalam filem ini. Saya berharap ia akan menghiburkan dan memberi pengalaman aksi yang mengujakan kepada penonton Netflix di seluruh dunia,” ujarnya.
Dengan statusnya sebagai antara filem tempatan paling laris 2025, Blood Brothers: Bara Naga pasti mencuri perhatian penonton aksi antarabangsa. Jangan lupa saksikan di Netflix mulai 10 Ogos! - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments