TIDAK mudah menempatkan diri dalam dunia seni jika tidak kental berdepan cabaran yang menguji. Perkara itu diakui pelakon baharu, Nasir Khan, apabila mengimbas permulaan kariernya yang penuh liku.
Sebelum dikenali di kaca televisyen, Nasir pernah bekerja sebagai pegawai keselamatan di Pelabuhan Klang. Namun tekanan di tempat kerja lama membuatkan dia nekad mencari haluan baharu.
“Saya rasa sangat tertekan dengan suasana kerja sebelum ini, jadi saya buat keputusan untuk ubah arah hidup. Walaupun sukar, saya yakin rezeki ada di mana-mana,” katanya kepada 7Klik.
Bermula dengan mencuba nasib dalam uji bakat iklan komersial, peluang Nasir terbuka apabila berjaya mendapat projek pertamanya.
“Dari situ saya mula cari peluang dalam bidang hiburan. Alhamdulillah, rezeki saya tidak putus sejak itu,” ujarnya.
Idam Watak ‘Gelap’
Berkat usaha dan kesungguhan, wajah Nasir kini semakin dikenali menerusi beberapa drama yang dibintangi termasuk Terpaling Menantu dan Air Mata Terakhir.
Namun bagi Nasir, setiap kejayaan hadir dengan tanggungjawab besar, bukan hanya kepada penonton, tetapi juga kepada produksi dan dirinya sendiri.
“Sudah tentu ada tekanan, sebab penonton akan menilai setiap watak yang saya bawa. Saya sentiasa belajar dan cuba perbaiki diri agar lakonan saya tidak mengecewakan,” jelasnya.
Sebagai pelakon baharu, Nasir menyedari pentingnya untuk terus berkembang. Dia tidak mahu selesa dengan satu jenis watak dan menyimpan impian untuk menjayakan peranan yang lebih mencabar secara emosi seperti karektor antagonis.
“Saya nak bawa watak yang nampak baik, tapi sebenarnya punya sisi gelap dan manipulatif. Bagi saya, karakter seperti itu mampu uji emosi dan beri impak kuat kepada penonton.
"Dalam masa sama, ia boleh bantu saya tunjuk sisi versatil sebagai pelakon,” katanya.
Nasir berharap setiap watak yang dijayakan akan memberi kesan positif dalam membina perjalanan seninya. Walaupun sedar dirinya masih ‘hijau’, dia tekad untuk terus cabar diri demi menjadi pelakon yang serba boleh. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments