Hot Posts

6/recent/ticker-posts

[REVIEW] F1: The Movie – Gaya Perlumbaan dan Pengalaman Sinematik Yang Mengujakan


DUNIA perlumbaan Formula 1 (F1) yang intens, penuh ego, kelajuan dan tekanan, kini 'dihidupkan' dengan penuh bergaya dalam filem aksi sukan paling dinantikan tahun ini, F1 The Movie.

Menampilkan Brad Pitt sebagai teraju utama, Joseph Kosinski di kerusi pengarah, dan Lewis Hamilton sendiri di belakang tabir, filem ini hadir bukan sekadar untuk tontonan, tetapi sebuah pengalaman sinematik yang mendebarkan.

F1 The Movie mula menemui penonton di pawagam seluruh dunia pada 26 Jun 2025, dan menjanjikan lebih daripada sekadar deruman enjin atau selekoh tajam. Ia menggabungkan drama, emosi dan gaya visual IMAX yang memberi sensasi berada di tengah-tengah litar perlumbaan sebenar dan itulah yang membuatkan filem ini wajar diperhatikan.

Mengisahkan Sonny Hayes (lakonan mantap Brad Pitt), seorang bekas pelumba F1 yang bersara selepas terlibat dalam kemalangan ngeri di litar tiga dekad lalu.

Hidupnya berubah apabila Ruben Cervantes (Javier Bardem), sahabat lama yang juga bekas seteru trek, menawarkan peluang untuk kembali ke litar menerusi pasukan kendaliannya, APXGP.

Sonny tidak kembali untuk sekadar berlumba tetapi dia turut diminta menjadi mentor kepada pelumba muda, Joshua Pearce (Damson Idris), dalam usaha menyelamatkan pasukan APXGP daripada terus tenggelam dalam dunia F1 yang kompetitif.

Tekanan bukan sekadar datang dari luar litar, Kate McKenna (Kerry Condon), pengarah teknikal wanita pertama dalam F1, juga bergelut untuk membuktikan dirinya dalam dunia yang penuh dominasi lelaki.

Elemen-elemen ini menjadikan naratif lebih daripada sekadar perlumbaan tetapi tentang peluang kedua, persahabatan, legasi, dan semangat untuk bangkit semula.

Aksi Perlumbaan yang ‘Hidup’, Lakonan Berimpak

Sejak babak awal, Joseph Kosinski menetapkan satu standard visual yang tinggi. Kamera ditempatkan terus dalam kokpit, penggambaran dilakukan di litar ikonik sebenar seperti Silverstone, Monza, Spa dan Las Vegas, dan format IMAX dimaksimumkan untuk setiap detik perlumbaan.

Tiada 'green screen' diperlukan. Brad Pitt sendiri berada di tengah-tengah litar, memandu jentera yang dimodifikasi menyerupai kereta F1 sebenar. Setiap adegan terasa nyata, dan pencinta sukan motor pasti teruja dengan keaslian yang ditampilkan.

Aspek perlumbaan seperti DRS, strategi pit stop dan tekanan paddock digarap dengan rujukan teknikal yang teliti. Hasilnya, filem ini berdiri sebagai antara visual perlumbaan paling autentik pernah disajikan di layar lebar.



Menyentuh soal lakonan, Brad Pitt yang membawakan watak Sonny Hayes, tampil dengan lakonan penuh impak. Keberaniannya untuk benar-benar berada dalam kereta, berpusing di litar F1 nyata membuktikan komitmen luar biasa terhadap watak.

Gandingannya dengan Damson Idris dan Kerry Condon pula memperkukuh dinamika filem, menjadikan setiap pertembungan watak bukan sekadar pengisi babak tetapi detik yang menggambarkan perjuangan dan harga diri.

Dalam pada itu, muzik latar digubah oleh Hans Zimmer, komposer tersohor yang dikenali dengan sentuhan epik dan emosinya juga berjaya menghidupkan suasana serta menambah 'drama' naskhah ini.

Naratif Selamat

Namun di sebalik kekuatan visual, lakonan dan skor muzik, filem ini masih terperangkap dalam struktur naratif yang terlalu selamat.

Dengan jalan cerita yang mudah dijangka, hubungan mentor-rookie serta konflik tipikal pasukan, filem ini gagal mencipta impak emosi yang benar-benar meninggalkan kesan dalam diri penonton. 

Selain itu, fokus dilihat terlalu berat kepada watak Brad Pitt sehinggakan watak-watak lain tenggelam meski mempunyai potensi menarik jika dikembangkan.

Apa-apapun secara keseluruhannya, F1: The Movie bukan hanya sebuah filem sukan biasa tetapi ia satu tayangan penuh adrenalin yang menyatukan teknologi sinematik dengan dunia perlumbaan sebenar.


Naskhah ini menang besar dari sudut pengalaman visual dan penglibatan bintang-bintang industri. Namun, untuk menjadi sebuah karya yang benar-benar ikonik, ia masih belum cukup berani menembusi zon selamat naratif.

Pun begitu, ia tetap sebuah tayangan yang wajib ditonton di layar lebar, lebih-lebih lagi dalam format IMAX.


Trivia Menarik

• Kos produksi mencecah USD140 juta dengan sokongan penuh F1 dan Mercedes.
• Penggambaran di litar kejohanan sebenar seperti Silverstone, Monza, Spa, Abu Dhabi, Jepun, Las Vegas dan lain-lain.
• Brad Pitt memandu sendiri kereta F2 yang dimodifikasi menyerupai jentera F1 pasukan APXGP.
• Tiada green screen: semua babak perlumbaan dirakam secara fizikal di litar sebenar Grand Prix.
• Penampilan khas pelumba F1 sebenar termasuk Lewis Hamilton, Max Verstappen, Sergio Pérez dan Carlos Sainz Jr.
• Lewis Hamilton juga bertindak sebagai penerbit bersama dan penasihat teknikal.
• Lagu Messy nyanyian Rosé BLACKPINK dipilih sebagai antara lagu tema rasmi.
• Kutipan pembukaan: US$55.6 juta di Amerika Utara, dan lebih US$144 juta secara global minggu pertama. - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:

F1: THE MOVIE
Bahasa: Inggeris
Klasifikasi: 13
Genre: Aksi/Sukan
Durasi: 2 jam 35 minit
Pengarah: Joseph Kosinski   
Pelakon: Brad Pitt, Damson Idris, Kerry Condon, Tobias Menzies
Edaran: Warner Bros. Pictures
Tarikh Tayangan: 26 Jun 2025
Bintang: 8/10

[KREDIT FOTO: Warner Bros. Pictures - Terima Kasih Tan Sven Sven]


Filem Lain Di Pawagam Minggu Ini

M3GAN 2.0
Bahasa: Inggeris
Klasifikasi: 16
Genre: Seram/sains Fiksyen
Durasi: 2 jam
Pengarah: Gerard Johnstone   
Pelakon: Allison Williams, Violet McGraw, Amie Donald
Edaran: United International Pictures
Tarikh Tayangan: 26 Jun 2025

MISTERI FRASER 1910
Bahasa: Melayu
Klasifikasi: 13
Genre: Seram
Durasi: 1 jam 35 minit
Pengarah: Shuhaimi Zulkefli   
Pelakon: Josiah Hogan, Siti Hariesa, Amai Kamarudin, Isyariana
Edaran: Empire Film Solution
Tarikh Tayangan: 26 Jun 2025

JUMBO
Bahasa: Indonesia
Klasifikasi: U
Genre: Animasi
Durasi: 1 jam 43 minit
Pengarah: Ryan Adriandhy   
Pelakon Suara: Prince Poetiray, Graciella Abigail, Bunga Citra Lestari, Ariel, Cinta Laura Kiehl, Angga Yunanda
Edaran: Skop Production
Tarikh Tayangan: 26 Jun 2025

Post a Comment

0 Comments