FENOMENA blind box kini semakin mendapat tempat di hati peminat di Asia Tenggara, dan jenama global POP MART tampil sebagai peneraju yang menghubungkan dunia koleksi dengan pengalaman digital dan realiti.
Melalui kerjasama bersama Lazada, POP MART kini lebih dekat dengan komuniti pengumpul, bukan sahaja dengan produk eksklusif tetapi juga melalui acara dan aktiviti yang menghidupkan dunia koleksi ini dengan lebih bermakna.
Sejak menyertai platform LazMall pada tahun 2023, POP MART mencatat pertumbuhan lebih lima kali ganda menjadikannya antara jenama mainan paling pantas berkembang di platform tersebut.
Dengan sokongan teknologi cadangan pintar dan data pengguna daripada Lazada, POP MART kini dapat menawarkan pengalaman membeli yang lebih personal mengikut citarasa kolektor di setiap negara.
Sebagai contoh, karakter Skullpanda menjadi kegemaran di Thailand, manakala peminat di Malaysia pula lebih tertarik dengan karakter seperti Dimoo.
Apa yang membezakan POP MART adalah keupayaannya menggabungkan keseronokan digital dengan pengalaman fizikal atau dunia sebenar.
Selain pelancaran produk, POP MART juga aktif menganjurkan pelbagai acara komuniti termasuk sesi 'unboxing' secara langsung, kolaborasi bersama pencipta kandungan, dan penghantaran yang pantas dengan pembungkusan kalis hentakan khas untuk para kolektor.
Kini, 34 peratus daripada jualan POP MART di Lazada datang daripada pencipta kandungan seperti livestreamer dan reviewer yang membawa dunia POP MART terus ke skrin peminat. Ia bukan lagi sekadar hobi tetapi sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup yang dikongsi bersama komuniti.
Pelancaran Eksklusif
Terkini POP MART memperkenalkan dua figura edisi terhad iaitu Molly dan Zsiga, serta melancarkan generasi baharu Skullpanda Plush yang kini tampil dalam versi lebih comel dan boleh dipeluk.
Semua produk ini boleh didapati secara eksklusif di LazMall bermula Jun 2025. Bagi memenuhi permintaan peminat yang semakin meningkat, POP MART turut meningkatkan tahap stok dan keterlihatan produknya di platform.
Kolektor di Malaysia boleh menantikan satu acara fizikal istimewa iaitu Lazada x POP MART 5KM Run yang akan berlangsung pada 12 Oktober 2025. Acara berkonsepkan komuniti ini menggabungkan elemen sukan, muzik dan budaya pop, dan bakal menjadi medan pertemuan peminat serta karakter kegemaran mereka.
POP MART akan membuka booth eksklusif sepanjang acara tersebut, membolehkan peminat berinteraksi dengan karakter kegemaran dan menikmati dunia trend budaya dan koleksi dalam suasana penuh warna.
Menghidupkan Cerita
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Kaya Qin, kerjasama ini bukan sekadar tentang penjualan produk.
“Dunia POP MART dibina atas kreativiti dan hubungan. Melalui platform Lazada, jenama seperti POP MART mampu menginspirasi generasi kolektor baharu dengan cerita yang melangkaui saluran digital," katanya.
Dengan gabungan penceritaan, teknologi, dan komuniti, POP MART terus membina hubungan yang mendalam bersama peminatnya di seluruh Asia Tenggara, sekali gus menjadikan setiap figura bukan sekadar koleksi, tetapi satu pengalaman yang bermakna. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments