SEBUAH kisah legenda, dilema hati dan tradisi yang merentasi zaman, Teater Muzikal Rubiah bakal menemui penonton hujung minggu ini dengan pementasan yang menjanjikan keunikan dari segi naskhah, produksi dan sentuhan budaya tempatan.
Dibawakan oleh Persatuan Teater Persona Mantera (PTPM) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Selangor, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Fakulti Filem, Teater & Animasi UiTM (FiTAA) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), teater ini akan dipentaskan pada 28 hingga 29 Jun ini di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam, Selangor.
Teater Muzikal Rubiah merupakan sebahagian daripada Program Penyemarakan Karya Seni, Sastera, Teater Warisan dan Karya Agung dan diangkat sebagai antara Program Pelancongan Budaya peringkat negeri Selangor.
Ditulis oleh Allahyarham Sabri Mohd Zain (Samoza) dan diarahkan oleh Prof. Madya Dr. Aminah Rhapor, pementasan ini mengangkat cerita yang bersumberkan mitos lama, dihidupkan semula dalam bentuk muzikal kontemporari.
Cinta, harapan dan tradisi
Kisah Rubiah bermula di sebuah kampung kecil sekitar tahun 1800 di Kuala Selangor, mengangkat legenda tempatan dikenali sebagai Keramat Anak Dara.
Rubiah, gadis kampung yang dicintai ramai, bergelut dengan dilema antara minat mendalam terhadap ilmu Al-Quran, harapan masyarakat serta tekanan adat untuk menjadi menantu dambaan dan isteri sempurna.
Konflik batin dan pergolakan perasaan Rubiah menjadikan pementasan ini lebih daripada sekadar hiburan dan ia adalah refleksi tentang pilihan hidup, pengorbanan dan suara wanita dalam masyarakat beradat.
Teater ini dibintangi oleh Didi Astillah serta pelakon berkarisma Nookhiriah, bersama sokongan produksi pelajar teater UiTM dan pasukan teknikal profesional.
Gabungan seni persembahan, muzik tradisional dan visual dramatik dijangka menjadikan Teater Muzikal Rubiah satu pengalaman teater yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi menyentuh jiwa penonton. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments