12 Sep 2020

,


KEHILANGAN penyanyi Sandra Dianne pada awal pagi Jumaat semalam cukup dirasai semua. Bukan sahaja dalam kalangan keluarga terdekat, tetapi juga rakan-rakan dan peminat.


Cerita dan kenangan bersama penyanyi Hey Kau itu tidak putus-putus dikongsi sehingga saat ini. Betapa pemilik nama sebenar Alessandra Dianne Ampuria, 26, itu cukup disayangi dan disenangi ramai sepanjang hayatnya.


7Klik berkongsi trivia menarik tentang Allahyarham Sandra untuk tatapan semua.



  • Nama penuh Sandra ialah Alessandra Dianne Ampuria
  • Lahir pada 16 September 1994 bersamaan sambutan Hari Malaysia.
  • Berasal Kampung Kauluan, Tuaran, Sabah.  
  • Merupakan lulusan Architectural Drafting.



  • Sepupu kepada pelakon Fara Nabilah.
  • Sahabat karib penyanyi Neeta Manisha


  • Bakat Sandra dicungkil menerusi program realiti TV, Mentor Legend terbitan TV3 pada tahun 2014 dan merupakan protege kepada penyanyi Dayang Nurfaizah. 
  • Pada awal kemunculannya, kerjaya seni Sandra diuruskan oleh Indigital Music dan kemudiannya bernaung di bawah label Sony Music Malaysia.


  • Mula dikenali menerusi single Hey Kau ciptaan Tam Spider dan lirik oleh Iman Imran pada tahun 2015. Lagu ini juga merupakan lagu runut bunyi drama Cik Cinderella dan Encik Tengku.
  • Pernah tampil bersama trio Mell Ahmad dan Lily untuk sebuah projek khas menerusi lagu Rasa.
  • Single lain yang turut mengangkat nama Sandra ialah Tulus, Ku Tak Mahu Cinta, Aku dan Kekasihmu, Terkemuka (duet bersama Zizi Kirana & Benzoloo) dan Salimah (Duet bersama Ryan Deedat).


  • Merupakan peserta Big Stage 2020 dan sempat beraksi untuk tiga konsert pertama, sebelum terlibat kemalangan pada minggu keempat konsert.
  • Sandra juga aktif dengan kerja belakang tabir dengan mencipta lagu dan lirik.
  • Selain aktif sebagai penyanyi, Sandra juga mencari pendapatan sampingan dengan berniaga ikan masin di Sabah.



  • Terlibat dengan kemalangan jalan raya di Lebuhraya Damansara Puchong pada 6 September 2020 ketika dalam perjalanan ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) untuk raptai penuh konsert Big Stage 2020 minggu keempat.
  • Dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Putrajaya dan tidak sedarkan diri dari hari pertama dirawat sehinggalah menghembuskan nafas terakhir.
  • Meninggal dunia pada 11 September 2020, jam 1 pagi di Hospital Putrajaya. 
  • Jenazah dikebumikan di kampung halamannya, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kauluan, Tuaran, Sabah.
  • Berita pemergian Sandra mendapat liputan meluas daripada media seluruh negara termasuk negara jiran, Indonesia. 
  • Astro menganjurkan Konsert Big Stage Tribute #SandraDalamKenangan pada 13 September 2020 bagi menggantikan konsert minggu kelima, sekali gus sebagai tanda penghargaan dan mengenang Allahyarham Sandra.

11 Sep 2020

,


SELEPAS enam hari tidak sedarkan diri, penyanyi Sandra Dianne disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya sekitar jam 1 pagi Jumaat.

Sandra atau nama sebenarnya Alessandra Dianne Ampuria, 26,  bertarung nyawa selepas terbabit dengan kemalangan jalan raya pada Sabtu lalu dan dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital tersebut.

Ketika kemalangan berlaku di Lebuhraya Damansara Puchong itu, penyanyi yang dikenali menerusi lagu Hey Kau dan merupakan peserta Big Stage 2020 itu dalam perjalanan ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) untuk raptai penuh konsert Big Stage minggu keempat.

Sandra menghembuskan nafas terakhir di sisi ibunya, Nur Syakinah Abdullah, 46, yang setia menemaninya semenjak hari pertama menerima rawatan.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di kampung halamannya iaitu di Tanah Perkuburan Kampung Kauluan, Tuaran, Sabah.

Sama-sama kita hadiahkan alfatihah dan mendoakan agar roh Sandra dicucuri rahmat dan dipermudahkan perjalanannya ke dunia abadi.

Semoga ibu bapa dan keluarga terdekat Sandra kuat dan tabah menerima kehilangan yang sangat mengejutkan ini.