ART KL Temukan Wajah Baharu Seni Kontemporari Di Kuala Lumpur


SENI kontemporari sentiasa bergerak seiring perubahan zaman, dengan generasi baharu seniman hadir membawa perspektif yang lebih dekat dengan persoalan identiti, memori, komuniti dan realiti kehidupan semasa.

Berlatarbelakangkan perkembangan tersebut, ART KL bakal membuka tirai edisi sulungnya di Kuala Lumpur dari 15 hingga 18 Oktober 2026, menghimpunkan galeri, artis, pengumpul dan peminat seni dalam sebuah platform yang memberi tumpuan kepada suara baharu dari Asia Tenggara.

Dianjurkan oleh Art Anonymous dan A Place Where (APW) dengan khidmat perundingan Richard Koh Art Advisory, ART KL memberi tumpuan kepada seniman yang lahir selepas 1990, selain menjadi ruang untuk penerokaan, penemuan dan pertukaran idea antara generasi.

Bagi pengasas Richard Koh Art Advisory, Richard Koh, hubungan dan kerjasama menjadi asas penting dalam membina ekosistem seni yang lebih berkembang.

“ART KL diwujudkan sebagai platform untuk generasi baharu seniman Asia Tenggara dan komuniti yang menyokong mereka. Kami percaya ekosistem seni yang kukuh dibina melalui hubungan, dialog dan kerjasama.

“Artis, galeri, pengumpul dan kurator yang dihimpunkan di bawah platform ini diharap dapat membuka peluang baharu untuk penemuan dan pertukaran idea, selain mengukuhkan hubungan yang membantu seni kontemporari berkembang di Kuala Lumpur dan seluruh rantau ini,” katanya.

10 Galeri, Pelbagai Perspektif Seni

Edisi sulung ini menampilkan 10 pembentangan galeri dari rantau ini, iaitu Finale Art File (Filipina), Galeri Sasha dan Zhan Art | Space (Malaysia), Intersections dan Wetterling Teo Gallery (Singapura), ISA Art Gallery dan V&V Gallery (Indonesia), Supples serta Warin Lab Contemporary (Thailand), dan Vin Gallery (Vietnam dan China).

Setiap galeri memberi fokus kepada seorang atau dua seniman, sekali gus mengetengahkan perspektif serta bahasa visual yang lebih tersendiri.

Program instalasi khusus tapak turut menampilkan Farhan Rizuwan, Lee Mok Yee, Najib Bamadhaj, Neoh Shin Yen, Phillip Wong, Samantha Lee, Wong Perng Fey dan Alexdrina Chong You Qiu.

Karya mereka dihasilkan berdasarkan ruang serta konteks lokasi, menawarkan pengalaman seni yang lebih fizikal dan dinamik.

Untuk edisi pertama, program ini dibuka kepada seniman Malaysia sebelum diperluaskan kepada artis dari seluruh Asia Tenggara pada edisi akan datang.

Selain pembentangan komersial, ART KL turut mengadakan lelongan amal menerusi karya yang disumbangkan artis dan pengumpul.

Keseluruhan hasil edisi sulung akan disalurkan kepada The Lighthouse Children’s Welfare Home, organisasi bukan berasaskan keuntungan di Kuala Lumpur yang menyediakan tempat tinggal, penjagaan, pendidikan dan sokongan kepada kanak-kanak kurang berkemampuan serta yatim.

Bertempat di APW, Bangsar, acara ini turut dilengkapi sesi bual bicara dan panel bagi mendekatkan khalayak dengan perkembangan seni kontemporari baharu di rantau ini.

Pemilihan Kuala Lumpur sebagai lokasi sulung pula mencerminkan kedudukannya sebagai kota yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan perkembangan kreatif serantau.

ART KL berharap pendekatan yang lebih terbuka dan terkurasi dapat menjadi ruang permulaan buat generasi baharu mengenali serta membina hubungan dengan seni kontemporari.

Acara ini akan berlangsung dari 15 hingga 18 Oktober 2026 di APW,  Jalan Riong, Bangsar, Kuala Lumpur. Acara dibuka kepada umum pada 16 dan 17 Oktober, 11 pagi hingga 8 malam, manakala 18 Oktober, 11 pagi hingga 7 malam. Maklumat lanjut boleh didapati di www.artkl.com.my - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments