Kontroversi Macklemore: Ed Sheeran Akhirnya Bersuara, Akui Kesilapan


MINGGU yang sepatutnya berkisar tentang muzik dan persembahan berubah menjadi perhatian besar buat Ed Sheeran selepas kontroversi melibatkan rapper Macklemore dan jelajah The Loop di Amerika Syarikat.

Selepas beberapa hari menjadi tumpuan, Sheeran akhirnya membuka mulut ketika kembali ke pentas di Lincoln Financial Field, Philadelphia pada 19 September.

Persembahan itu menjadi konsert pertamanya sejak Macklemore dikeluarkan daripada baki jelajah sebagai artis pembuka tirai.

Sebelum memulakan persembahan, Sheeran mengambil masa lebih dua minit untuk bercakap kepada penonton mengenai perkembangan yang berlaku sepanjang minggu tersebut.

Penyanyi berusia 35 tahun itu mengakui terpaksa membuat beberapa keputusan sukar dan menyedari terdapat kesilapan yang dilakukan.

“Saya terpaksa membuat dan mengambil beberapa keputusan yang sukar, dan saya melakukan kesilapan. Saya benar-benar minta maaf atas semua itu,” ujarnya yang kelihatan sebak ketika menyampaikan ucapan itu.

Sheeran kemudian berkongsi bagaimana perkembangan sepanjang minggu berkenaan membuatkan dirinya berdepan tekanan, termasuk apabila beberapa individu yang rapat dengannya menggesa supaya persembahan tersebut dibatalkan.

Terdahulu, kontroversi tercetus selepas Macklemore membuat kenyataan pro-Palestin ketika persembahan di MetLife Stadium, New Jersey pada awal September, termasuk melaungkan ‘Free Palestine’.

Macklemore kemudiannya dikeluarkan daripada baki tarikh jelajah selepas promoter menerima makluman daripada venue bahawa mereka tidak akan membenarkan konsert berlangsung jika rapper tersebut kekal dalam barisan artis. Sheeran bagaimanapun menjelaskan keputusan tersebut dibuat oleh promoter, bukan dirinya.

Perkembangan itu kemudian menyaksikan empat lagi artis menarik diri daripada jelajah berkenaan sebagai solidariti terhadap Macklemore, iaitu Aaron Rowe, Beoga, Lukas Graham dan Finneas.

Pilih Untuk Bersuara

Dalam ucapan sama, Sheeran turut menyentuh konflik Israel-Gaza yang menjadi sebahagian daripada kontroversi tersebut. Malah, penyanyi Britain itu turut menyatakan kesedihan terhadap kemusnahan serta kehilangan nyawa orang awam dan kanak-kanak.

Sheeran pada masa sama menegaskan bahawa konsertnya mahu kekal sebagai ruang untuk semua, termasuk mereka yang mempunyai pandangan berbeza.

Tambahnya, muzik sepatutnya menjadi tentang penyatuan, bukan perpecahan, dan penonton masih boleh bersama walaupun tidak bersetuju dalam semua perkara.

Persembahan di Philadelphia berlangsung ketika puluhan penunjuk perasaan pro-Palestin berkumpul di luar Lincoln Financial Field sebelum konsert bermula.

Buat masa ini, penyanyi yang popular dengan lagu Shape of You itu tetap meneruskan The Loop Tour yang masih mempunyai beberapa tarikh persembahan di Amerika Utara dan Selatan.

Persembahan di Philadelphia menjadi kali pertama Sheeran tampil secara terbuka di pentas mengenai kontroversi yang tercetus selepas Macklemore dikeluarkan daripada baki jelajah. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments