Sukan Komanwel Glasgow 2026: RTM Sajikan Hampir 100 Jam Liputan Aksi Atlet Dunia


SELEPAS lebih sebulan menghidangkan kemeriahan Piala Dunia FIFA 2026 kepada peminat sukan tanah air, Radio Televisyen Malaysia (RTM) meneruskan langkah memperkukuh kandungan sukan antarabangsa apabila diberi kepercayaan sebagai penyiar rasmi temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos 2026 di Glasgow, Scotland, temasya berprestij yang menghimpunkan atlet terbaik negara-negara Komanwel itu bakal menyaksikan aksi atlet Malaysia dibawakan terus kepada penonton menerusi liputan menyeluruh RTM.

Menerusi saluran Sukan+ di platform MYTV 111, RTMKlik serta media sosial rasmi RTM, peminat sukan tempatan berpeluang mengikuti perkembangan pertandingan yang melibatkan wakil negara. Liputan sama turut tersedia menerusi saluran Sukan+ di platform Astro 806.

Bagi memastikan penonton tidak ketinggalan detik penting sepanjang temasya berlangsung, RTM menyediakan hampir 100 jam siaran yang merangkumi pelbagai acara utama termasuk Upacara Pembukaan sehingga Majlis Penutup Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Sepanjang kejohanan, penonton akan disajikan dengan dua sesi siaran langsung laporan harian, masing-masing selama tiga jam, selain satu slot sorotan harian selama sejam yang merangkumkan perkembangan terkini pertandingan.

Sesi siaran langsung pertama berlangsung dari 24 Julai hingga 2 Ogos 2026 pada jam 6 petang hingga 9 malam, manakala sesi kedua bermula 25 Julai hingga 2 Ogos 2026 dari jam 1 pagi hingga 4 pagi.

Bagi melengkapkan pengalaman tontonan, slot sorotan harian pula akan disiarkan mulai 25 Julai hingga 3 Ogos 2026, setiap hari dari jam 2 petang hingga 3 petang.

Barisan Hos Berpengalaman Hidupkan Siaran Grandstand

Selain liputan pertandingan, RTM turut membawa pengalaman siaran langsung menerusi segmen Grandstand yang dikendalikan oleh barisan pengacara berpengalaman.

Grandstand Upacara Pembukaan Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang berlangsung pada 24 Julai lalu menyaksikan gandingan Zachki Ahmad Suri, Nik Syafiq Hadhari dan Nazrie Fahmie mengemudi siaran dengan ulasan serta analisis sepanjang acara berlangsung.

Sementara itu, Grandstand bagi Upacara Penutup yang dijadualkan pada 3 Ogos 2026, jam 2.30 pagi hingga 5.30 pagi, bakal menampilkan Jeed Zulkefli, Ninie Ibrahim dan Iffah Hazim sebagai pengacara.

Kehadiran barisan hos ini meneruskan pendekatan RTM dalam menghadirkan liputan sukan yang lebih dekat dengan penonton, selepas menerima sambutan positif menerusi tugasan siaran Piala Dunia FIFA 2026 sebelum ini.

Di sebalik kemeriahan siaran yang disediakan, perhatian utama pastinya tertumpu kepada perjalanan kontinjen Malaysia yang membawa harapan negara di pentas antarabangsa.

Kontinjen negara diketuai oleh Chef de Mission, Yang Berbahagia Datuk Awalan Abdul Aziz, dengan penyertaan seramai 59 atlet yang terdiri daripada 37 atlet able dan 22 atlet para.

Mereka akan beraksi dalam 64 acara melibatkan lapan daripada keseluruhan 10 jenis sukan yang dipertandingkan, antaranya angkat berat dan powerlifting, renang serta para renang, berbasikal trek dan para berbasikal trek, bola keranjang 3x3, bola keranjang kerusi roda 3x3, gimnastik artistik, judo, boling padang, para boling padang, olahraga serta para olahraga.

Berdasarkan potensi atlet dan prestasi semasa, kontinjen Malaysia menyasarkan kutipan lima pingat emas, dua pingat perak dan empat pingat gangsa sepanjang penyertaan kali ini.

Melalui liputan Sukan Komanwel Glasgow 2026, RTM bukan sahaja meneruskan komitmen menyediakan kandungan sukan berkualiti, malah membuka ruang kepada rakyat Malaysia untuk bersama-sama mengikuti perjuangan atlet negara dalam salah satu temasya sukan antarabangsa terbesar dunia.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments