BAGI kebanyakan rakyat Malaysia, musim durian bukan sekadar waktu menikmati buah bermusim, tetapi satu pengalaman yang dinantikan bersama keluarga dan rakan-rakan. Aroma kuat serta rasa lemak manisnya menjadikan raja buah ini sukar ditolak apabila mula memenuhi pasaran.
Namun, seperti makanan lain, cara menikmati durian memainkan peranan penting. Isunya bukan kerana durian itu tidak sihat, tetapi jumlah yang dimakan kadangkala boleh bertambah tanpa disedari.
Jika enam biji epal, lapan biji oren atau sepuluh biji pisang dihidangkan sekali gus, mungkin ramai tidak akan menghabiskannya dalam satu masa. Tetapi apabila menikmati durian, ayat "tambah satu ulasa lagi" boleh berubah menjadi 10, 15 malah 20 ulas sebelum disedari.
Pakar Diet Alpro Pharmacy, Khoo Wei Jin, menjelaskan bahawa durian masih boleh dinikmati, namun saiz hidangan perlu diberi perhatian bagi memastikan pengambilannya kekal seimbang.
Satu pemerhatian peribadi menggunakan Continuous Glucose Monitor (CGM) menunjukkan bagaimana jumlah pengambilan durian boleh mempengaruhi tindak balas gula dalam darah. CGM ialah alat kecil yang menggunakan sensor untuk memantau perubahan paras glukosa sepanjang hari.
Sebelum menikmati durian, bacaan glukosa individu tersebut berada pada tahap 4.9 mmol/L. Selepas mengambil 15 ulas durian, bacaan meningkat kepada 8.0 mmol/L dalam tempoh sejam dan mencapai kemuncak 9.1 mmol/L selepas kira-kira 90 minit sebelum kembali menurun secara berperingkat.
Bagaimanapun, pemerhatian ini hanyalah pengalaman individu dan bukan kajian klinikal. Tindak balas gula dalam darah boleh berbeza mengikut keadaan setiap orang. Namun, ia menunjukkan bahawa kesan makanan bukan hanya bergantung kepada jenis makanan, tetapi juga jumlah yang diambil.
Peningkatan glukosa bukan disebabkan oleh seulas durian sahaja, sebaliknya hasil daripada keseluruhan jumlah karbohidrat yang perlu diproses oleh tubuh. Setiap tambahan ulas memberikan lebih banyak karbohidrat untuk diuruskan oleh badan serta memerlukan penghasilan insulin bagi membantu penggunaan glukosa sebagai tenaga.
Jaga Saiz Hidangan, Nikmati Durian Dengan Lebih Bijak
Purata satu ulas durian bersaiz sederhana sekitar 27 gram mengandungi kira-kira 45 kalori dan 8 gram karbohidrat. Pada masa sama, durian turut membekalkan serat makanan, kalium, vitamin C, vitamin B serta antioksidan yang bermanfaat. Ini bermakna durian tetap merupakan buah, cuma ia perlu dinikmati dalam jumlah yang sesuai.
Secara amnya, rakyat Malaysia disarankan mengambil dua hidangan buah sehari. Dua ulas durian bersaiz sederhana menyediakan kira-kira 90 kalori dan 16 gram karbohidrat, menjadikannya bersamaan satu hidangan buah.
Cabaran sebenar berlaku apabila jumlah tersebut terus bertambah. Lima ulas durian mengandungi kira-kira 225 kalori dan 40 gram karbohidrat, manakala 10 ulas boleh mencecah sekitar 450 kalori dan 80 gram karbohidrat. Bagi 15 ulas pula, jumlahnya boleh mencapai kira-kira 675 kalori dan 120 gram karbohidrat.
Jumlah tersebut boleh menyamai tambahan satu hidangan utama bergantung kepada jenis makanan yang diambil. Sebab itu, "satu ulas lagi” yang berulang kali boleh meningkatkan pengambilan tenaga tanpa disedari.
Walaupun durian sering dikategorikan sebagai buah dengan indeks glisemik (GI) rendah hingga sederhana, GI bukan satu-satunya perkara yang perlu diberi perhatian. Beban glisemik, iaitu jumlah keseluruhan karbohidrat yang diambil, turut memainkan peranan.
Satu atau dua ulas mungkin masih sesuai untuk ramai individu, tetapi pengambilan dalam jumlah besar seperti 10 atau 15 ulas memberikan lebih banyak beban kepada tubuh untuk menguruskan peningkatan glukosa.
Bagi individu yang mempunyai diabetes, pradiabetes, masalah rintangan insulin, kebimbangan berkaitan berat badan atau sejarah keluarga diabetes, jumlah pengambilan perlu diberi perhatian. Pada masa yang sama, kesedaran terhadap saiz hidangan juga penting untuk semua yang ingin menikmati durian secara lebih seimbang.
Anda tidak perlu mengelakkan durian sepenuhnya. Menikmati makanan bukan tentang rasa takut, tetapi memahami cara menikmatinya dengan lebih bijak.
Antara langkah mudah termasuk mengehadkan kepada kira-kira dua ulas bersaiz sederhana sebagai satu hidangan buah, mengelakkan pengambilan durian dalam jumlah besar selepas hidangan berat berasaskan nasi, berkongsi bersama keluarga atau rakan serta menikmati setiap ulas secara perlahan.
Musim durian tetap menjadi waktu yang dinantikan ramai. Matlamatnya bukan untuk menghalang orang ramai menikmati raja buah ini, tetapi membantu semua orang menikmatinya dengan lebih sedar dan seimbang. - 7KLIK
[Kredit: Terima Kasih Khoo Wei Jin, Pakar Diet Alpro Pharmacy]
ARTIKEL LAIN:
0 Comments