'Legasi Janda Baik' Bongkar Hubungan Istimewa Antara Alam, Komuniti Dan Warisan


JANDA Baik bukan sekadar destinasi pilihan untuk melarikan diri daripada kesibukan kota. Di sebalik kehijauan hutannya, aliran sungai yang jernih dan udara tanah tinggi yang menyegarkan, tersimpan kisah tentang hubungan erat antara manusia dan alam yang saling melengkapi sejak sekian lama.

Keindahan yang dinikmati hari ini bukan sekadar aset pelancongan, malah warisan yang perlu dipelihara agar terus memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Semangat inilah yang menjadi nadi dokumentari Simfoni Alam: Legasi Janda Baik, yang mengetengahkan bagaimana komuniti setempat memainkan peranan penting dalam memulihara alam sekitar sambil membangunkan ekopelancongan secara lestari.

Inisiatif tersebut digerakkan oleh Persatuan Sahabat Alam Tampik Janda Baik menerusi pendekatan Ekopelancongan Berasaskan Komuniti (Community-Based Ecotourism, CBET), hasil kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, badan berkanun di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), bersama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.

Menerusi pendekatan ini, penduduk bukan sekadar menjadi tuan rumah kepada pelancong, malah turut berperanan sebagai penjaga khazanah alam.

Pada masa sama, model tersebut membuka peluang menjana pendapatan komuniti, mengukuhkan perpaduan penduduk serta memastikan keseimbangan ekosistem terus dipelihara.

Warisan Alam Perlu Dipelihara

Terletak kira-kira 45 kilometer dari Kuala Lumpur, Janda Baik memiliki iklim tanah tinggi khatulistiwa yang nyaman, sekali gus menyokong kepelbagaian flora bernilai tinggi. Kekayaan biodiversiti inilah yang menjadikan kawasan tersebut antara lokasi penting untuk usaha pemuliharaan alam.

Hutan di Janda Baik bukan sahaja menyokong kehidupan masyarakat setempat dan komuniti Orang Asli, malah menjadi habitat pelbagai spesies hidupan liar serta antara destinasi persinggahan komuniti burung terbang bebas, termasuk dari Royal Pahang Freefly Parrot. Justeru, pengurusan hutan yang mampan amat penting bagi memastikan khazanah semula jadi ini terus terpelihara.

Penerbit program, Azry Ahmad Mustafa Hadi, berkata keunikan landskap Janda Baik perlu terus dipelihara supaya keindahan alam semula jadinya dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

Menurutnya, penerbitan dokumentari ini turut menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar, di samping memperkenalkan pendekatan Ekopelancongan Berasaskan Komuniti sebagai antara pemacu pembangunan lestari yang memberi manfaat kepada alam dan penduduk setempat.

Dokumentari Simfoni Alam: Legasi Janda Baik akan disiarkan pada 10 Julai 2026, jam 9 malam menerusi TV1 dan platform RTMKlik, membawa penonton menyelami keindahan alam Janda Baik serta usaha komuniti yang berganding bahu memastikan khazanah tersebut terus terpelihara. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN: 

Post a Comment

0 Comments