Taylor Swift, Travis Kelce Kini Sah Suami Isteri, Majlis Mewah Jadi Tumpuan Dunia


PENYANYI terkenal dunia, Taylor Swift, 36, kini sah bergelar isteri kepada pemain bola sepak Amerika Syarikat, Travis Kelce, 36, dalam sebuah majlis perkahwinan mewah dan tertutup yang berlangsung di Madison Square Garden, New York City pada Jumaat.

Perkahwinan yang menyatukan dua figura besar dari dunia muzik dan sukan itu segera menjadi perhatian global, bukan sahaja kerana status mereka sebagai pasangan selebriti berprofil tinggi, tetapi juga kerana majlis tersebut berlangsung dalam suasana eksklusif di salah satu lokasi ikonik dunia.

Sejurus selepas diisytiharkan sebagai pasangan suami isteri, suasana di luar arena berkenaan menjadi tumpuan apabila skrin gergasi memaparkan mesej ‘JUST T&T MARRIED!’, sekali gus mengumumkan detik bersejarah itu kepada umum.

Majlis tersebut turut mencuri perhatian apabila pelakon komedi terkenal, Adam Sandler, yang juga kenalan rapat pasangan tersebut, memainkan peranan sebagai pengacara dan jurunikah.

Tidak seperti kebiasaan, pasangan ini memilih pendekatan berbeza dengan tidak melantik pengapit pengantin rasmi. Sebaliknya, ahli keluarga terdekat memainkan peranan penting sepanjang majlis berlangsung.

Abang Taylor Swift, Austin Swift, menjadi pengiring utama pengantin perempuan, manakala abang Travis Kelce, Jason Kelce, bertindak sebagai pengapit pengantin lelaki.

Swift dan Kelce tampil elegan dalam busana pengantin eksklusif Christian Dior Haute Couture, hasil rekaan Jonathan Anderson. Penampilan mereka turut dilengkapi dengan kasut khas Christian Louboutin serta aksesori mewah daripada Cartier, melengkapkan keseluruhan gaya yang klasik dan sofistikated.

Sorakan Global dan Detik Peribadi di Sebalik Majlis

Majlis perkahwinan pasangan ini turut menarik ramai selebriti dan tokoh terkenal antarabangsa termasuk Gigi Hadid, Bradley Cooper, Dakota Johnson, Ed Sheeran, Hugh Grant, Jimmy Fallon, Ethan Hawke, Tommy Hilfiger, Camila Cabello dan ramai lagi termasuk barisan atlet sekali gus menjadikan majlis tersebut antara acara sosial paling hangat tahun ini.

Beberapa hari sebelum majlis berlangsung, kawasan sekitar Madison Square Garden mula dipenuhi peminat dan petugas media yang ingin menyaksikan perkembangan perkahwinan berkenaan, menambah lagi suasana meriah di lokasi ikonik tersebut.

Sehari sebelum hari perkahwinan, pasangan ini sempat menghadiri majlis makan malam bersama keluarga dan rakan terdekat di Infosys Theatre sebagai permulaan sambutan perkahwinan mereka.

Wakil Taylor Swift turut mendedahkan, sehari sebelum perkahwinan juga pasangan ini telah menyumbang sebanyak AS$26 juta (kira-kira RM115.15 juta) kepada beberapa organisasi kebajikan termasuk Feeding America, ASPCA serta Dolly Parton’s Imagination Library.

Difahamkan, pemilihan tarikh perkahwinan itu juga membawa makna tersendiri kerana berlangsung menjelang sambutan Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat pada 4 Julai, yang sering menjadi momen istimewa buat penyanyi lagu The Fate of Ophelia itu bersama keluarga dan rakan rapatnya.

Swift dan Kelce yang juga pemain Kansas City Chiefs mula menjalin hubungan cinta pada September 2023 sebelum mengikat tali pertunangan pada Ogos tahun lalu.

Kini, kisah cinta mereka melangkah ke fasa baharu dengan sebuah majlis yang mencuri perhatian dunia hiburan dan sukan antarabangsa. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments