Ziana Zain Kini Bergelar Datuk, Terima Pengiktirafan Atas Sumbangan Dalam Dunia Seni

Ziana Zain menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M.) yang membawa gelaran Datuk

SELEPAS lebih tiga dekad mewarnai industri muzik tanah air serta meraih pelbagai kejayaan, perjalanan seni penyanyi Ziana Zain terus mencatat satu lagi detik istimewa.

Kali ini, pencapaian tersebut hadir dalam bentuk pengiktirafan yang cukup bermakna apabila Ziana atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zain, 58, menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M.) yang membawa gelaran Datuk. 

Pengiktirafan itu diterima sempena Sambutan Hari Jadi ke-77 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam dalam istiadat penganugerahan yang berlangsung di Balai Istiadat Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka pada Isnin,

Anugerah itu sekali gus menjadi antara momen penting dalam perjalanan seni Ziana yang bermula sejak awal 1990-an.

Penyanyi yang cukup dikenali menerusi lagu seperti Madah Berhelah dan Puncak Kasih ini merupakan antara 189 individu yang menerima D.P.S.M. dalam istiadat berkenaan, melibatkan penerima daripada pelbagai latar belakang.

Bagi bintang kelahiran Merlimau, Melaka itu, penghormatan tersebut hadir sebagai satu momen istimewa yang pastinya akan terus dikenang, apatah lagi selepas bertahun-tahun membina nama dalam industri hiburan.

Menerusi satu hantaran di laman Instagram, Ziana meluahkan rasa syukur selain menyifatkan pengiktirafan berkenaan sebagai sesuatu yang amat bermakna buat dirinya.

"Satu penghormatan dan kenangan yang amat bermakna buat saya.

"Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih sekali lagi atas pengiktirafan yang diberikan. Alhamdulillah.." tulisnya.

Ziana berkongsi detik istimewa bersama adik-beradiknya.

Di sebalik kegembiraan menerima anugerah tersebut, momen bersejarah itu turut mengundang rasa sebak buat Ziana apabila kedua-dua ibu bapanya, Allahyarham Robiah Abdul dan Zin Abdullah, tidak lagi berpeluang menyaksikan pencapaian tersebut.

Namun, anak sulung lima beradik itu tetap bersyukur kerana sentiasa mendapat sokongan daripada keluarganya.

"Buat adik saya, Anuar Zain, terima kasih kerana sentiasa ada bersama dan berkongsi momen yang begitu bersejarah dan bermakna buat diri saya," ujarnya.

Pengiktirafan ini hadir selepas perjalanan panjang Ziana dalam dunia seni yang menyaksikan dirinya mengukuhkan kedudukan sebagai antara nama penting dalam industri muzik Malaysia.

Sejak mula aktif pada awal 1990-an, Ziana bukan sahaja mencipta nama menerusi deretan lagu popular, malah turut meraih pelbagai pencapaian dalam anugerah muzik tempatan serta membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa. Tidak kurang penglibatannya dalam dunia lakonan yang turut mendapat perhatian serupa sekali gus melengkapkan perjalanan seninya.

Lebih daripada sekadar gelaran, penganugerahan itu menjadi satu lagi catatan dalam perjalanan seni Ziana, sebuah perjalanan yang dibina melalui bakat, ketekunan dan tempoh panjang dalam industri hiburan tanah air. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments