'Kisah Terbaik' Fazura, Lahir daripada Luka, Harapan dan Penerimaan


ADA ketika dalam hidup, kita tidak selalu mampu menjelaskan apa yang kita rasa. Sesetengah perasaan hanya hadir dalam bentuk diam, luka yang perlahan-lahan sembuh, atau harapan yang masih tinggal walaupun pernah hampir hilang. Dalam ruang-ruang seperti inilah muzik sering menjadi tempat paling jujur untuk meluah tanpa perlu berkata banyak.

Mungkin itulah yang ingin disampaikan Fazura menerusi single terbaharunya berjudul Kisah Terbaik yang lahir daripada kejujuran emosi dan pengalaman hidup yang dilalui.

Lagu ini hadir sebagai sebuah balada emosional yang sarat dengan mesej tentang penerimaan, kekuatan diri dan harapan untuk terus melangkah ke hadapan meskipun pernah diuji oleh kehidupan.

Berbeza daripada karya-karya sebelumnya, Kisah Terbaik membawa naratif yang lebih universal, bukan sekadar tentang cinta, tetapi tentang bagaimana setiap pengalaman, sama ada indah atau menyakitkan, membentuk siapa diri kita hari ini.

“Bagi saya, Kisah Terbaik bukan sekadar tentang cinta, tetapi tentang menerima setiap pengalaman yang membentuk diri kita. Walaupun ada kisah yang menyakitkan, akhirnya kita sedar semuanya hadir dengan hikmah.

“Saya harap lagu ini dapat menjadi teman buat sesiapa yang sedang melalui fasa untuk melepaskan dan memulakan lembaran baharu,” ujarnya.

Menurut pemilik nama lengkapnya Nur Fazura Sharifuddin, lagu ini terhasil menerusi kolaborasi bersama komposer, penulis lirik dan penerbit Aiman Sidek serta Reza Ramsey dalam suasana kerja yang terbuka dan penuh kepercayaan.

Ruang ekspresi yang jujur sepanjang proses pembikinan membolehkan setiap emosi diterjemahkan dengan lebih mendalam, sekali gus menjadikan karya ini lebih peribadi dan autentik.

“Prosesnya sangat jujur dan terbuka. Kami banyak berbincang tentang emosi yang ingin disampaikan, dan Aiman serta Reza benar-benar memahami apa yang saya ingin luahkan.

"Mereka memberi ruang untuk saya berkongsi pandangan dan pengalaman, jadi lagu ini terasa sangat peribadi dan ikhlas,” jelasnya.

Menghidupkan Emosi Melalui Melodi dan Lirik

Dari sudut muzik, Kisah Terbaik diolah dengan susunan yang sinematik, bermula dengan nuansa lembut dan rapuh sebelum berkembang kepada emosi yang lebih besar serta penuh harapan.

Jelas Fazura, perjalanan muzik tersebut membantu menghidupkan setiap emosi yang ingin disampaikan menerusi lirik, sekali gus menjadikan lagu ini antara karya yang paling matang dan dekat dengan dirinya.

Baginya, lagu ini membawa perjalanan emosi yang indah apabila setiap bahagian disusun untuk menggambarkan perubahan rasa, daripada kelembutan kepada kekuatan dan keyakinan untuk terus melangkah.


Hubungan Fazura dengan karya ini juga lebih mendalam apabila kekuatan Kisah Terbaik turut datang daripada pengalaman hidup yang pernah dilaluinya sendiri, sekali gus membentuk cara dia memahami makna ketabahan dan penerimaan.

“Saya percaya setiap orang melalui fasa jatuh dan bangun, begitu juga saya. Ada banyak pengalaman yang mengajar saya tentang kekuatan, keikhlasan dan menerima apa yang telah ditentukan.

"Sebab itu saya begitu terhubung dengan lagu ini kerana ia mengingatkan saya bahawa setiap perjalanan, walaupun sukar, tetap mempunyai makna yang indah,” ujar ibu kepada seorang cahaya mata itu lagi.

Menerusi karya ini, Fazura mengharapkan ia mampu menjadi ruang emosi dan sumber kekuatan kepada pendengar yang sedang melalui fasa sukar dalam kehidupan.

“Saya berharap Kisah Terbaik dapat menyentuh hati pendengar dan memberi sedikit ketenangan kepada mereka yang sedang melalui waktu-waktu sukar.

"Kalau lagu ini mampu membuat seseorang rasa difahami, atau memberi mereka harapan untuk terus melangkah, itu sudah menjadi hadiah yang sangat bermakna buat saya,” katanya.

Dengan alunan vokal yang semakin matang, susunan muzik yang sinematik serta lirik yang dekat dengan realiti kehidupan, Kisah Terbaik memperlihatkan sisi Fazura sebagai seorang pengkarya yang lebih reflektif dan jujur dalam berkarya.

Kisah Terbaik kini boleh distrim di semua platform penstriman digital, menjemput pendengar untuk merasai sendiri setiap emosi yang diterjemahkan Fazura menerusi sebuah lagu yang sarat dengan makna. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments