[AlFatihah] Joey BPR Meninggal Dunia di HKL, Rebah Selepas Persembahan


PENYANYI dan bekas vokalis kumpulan BumiPutra Rockers (BPR), Joey, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pagi Sabtu.

Allahyarham dilaporkan rebah selepas selesai membuat persembahan dalam sebuah acara di Laman Santai, Istana Budaya pada malam Jumaat dan sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Joey atau nama sebenarnya Johari Mat Rozekhi, 63, disahkan menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 8.11 pagi di HKL.

Berita pemergian tersebut disahkan isterinya, Zarinah Zainal menerusi kenyataan ringkas yang dikongsikan kepada pihak media.

"Saya, isteri kepada Johari Mat Rozekhi (Joey BPR) ingin memberitahu Johari telah kembali ke Rahmatullah pada 29 Ogos 2026, 8.11 pagi di HKL," katanya.

Berdasarkan pemeriksaan doktor, Allahyarham dikatakan mengalami pendarahan di bahagian kepala selain komplikasi berkaitan jantung.

Jenazah Allahyarham masih berada di Hospital Kuala Lumpur dan dijangka dibawa ke Masjid Ukay Perdana, Ampang untuk diuruskan sebelum dikembumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana.

Meninggalkan Legasi Bersama BPR

Pemergian Joey bukan sahaja dirasai keluarga dan rakan-rakan seperjuangan, malah meninggalkan kehilangan besar buat dunia muzik rock tempatan yang pernah menyaksikan kegemilangannya sejak era 1980-an.

Sebagai vokalis BPR, Joey menjadi antara wajah yang mengiringi perjalanan kumpulan tersebut selepas ia mula aktif dalam industri seni sekitar 1985. Bersama kumpulan itu, Allahyarham pernah merakamkan empat album penuh, bermula dengan Selamat Pagi Malaysia pada 1987, diikuti Bisa (1988), Kelab Jiwa Luka (1989) dan Era 90an (1991).

Beberapa lagu yang pernah mencipta namanya bersama BPR turut menjadi sebahagian daripada legasi muzik Joey, seperti Dari Sinar Mata, Seribu Tahun Takkan Mungkin, Aku Hanya Serangga, Harum Subur di Hati dan Air Mata Jernih.

Lebih empat dekad berada dalam dunia seni, perjalanan Joey bersama BPR menjadi sebahagian daripada sejarah muzik rock Malaysia, khususnya ketika genre tersebut berada pada kemuncaknya sekitar era 1980-an hingga awal 1990-an. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments