Daripada Cabaran Atlet Muda, Lahir Misi Hidrasi S10 & Montigo


Oleh: AILEEN ADAM
BAGI seorang atlet, kejayaan bukan hanya bergantung kepada latihan yang konsisten, tetapi juga penjagaan tubuh yang betul termasuk aspek hidrasi dan pemulihan selepas aktiviti fizikal.


Pengalaman itu turut dirasai oleh Salim Sacoor, seorang atlet olahraga berusia 15 tahun yang memahami sendiri cabaran ketika menjalani latihan dalam keadaan cuaca panas dan lembap.

Situasi tersebut mendorong Salim, yang juga pengasas jenama hidrasi berteraskan misi sosial, S10, untuk bekerjasama dengan Montigo menghasilkan koleksi tumbler khas berfokuskan hidrasi yang direka mengikut keperluan atlet, di samping membawa manfaat kepada komuniti sukan.

Sebahagian daripada hasil jualan koleksi S10 x Montigo akan disalurkan kepada inisiatif yang membantu atlet mengalami kecederaan mendapatkan sokongan pemulihan dan rehabilitasi.

Sebagai atlet trek dan padang yang menjalani latihan kompetitif di Dubai, Salim menyedari kepentingan mengekalkan tahap hidrasi yang baik, terutama ketika berdepan keadaan persekitaran yang panas.

Melalui kerjasama ini, teknologi penebat haba Montigo disesuaikan bagi membantu memenuhi keperluan atlet yang memerlukan akses hidrasi lebih praktikal sepanjang sesi latihan mahupun pertandingan.

"Matlamat S10 adalah untuk menangani keperluan praktikal atlet sambil mewujudkan platform untuk memberi kembali kepada komuniti sukan.

"Melalui kerjasama bersama Montigo, kami berharap dapat memastikan atlet muda mempunyai akses kepada sumber yang diperlukan untuk mengejar impian mereka," kata Salim.

Koleksi Dengan Misi Sosial

Selain menyediakan kemudahan hidrasi untuk atlet, kerjasama ini turut membawa misi lebih besar apabila sebahagian hasil jualan akan menyokong usaha membantu atlet yang memerlukan bantuan pemulihan selepas mengalami kecederaan.

Pengasas S10, Salim Sacoor membawa misi untuk memberi manfaat kepada komuniti sukan menerusi kerjasama bersama Montigo

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama RPG Commerce, syarikat induk Montigo, Melvin Chee, pihaknya tertarik dengan visi Salim yang bukan sahaja melihat keperluan atlet, tetapi turut mempunyai keinginan untuk membantu komuniti sukan.

Katanya, kepakaran Montigo dalam menghasilkan barangan minuman yang sesuai dengan gaya hidup pengguna digunakan bagi membangunkan produk yang bukan sahaja memenuhi keperluan atlet, malah memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan sokongan.

Koleksi S10 x Montigo hadir dengan beberapa ciri yang memberi tumpuan kepada prestasi, termasuk pemegang ergonomik, cengkaman anti-gelincir yang dipertingkatkan, warna reflektif untuk penglihatan lebih jelas, penebat vakum dua lapisan serta straw hidrasi aliran tinggi yang membolehkan pengambilan air dilakukan dengan lebih pantas dan efisien ketika latihan atau pertandingan.

Tersedia dalam 10 pilihan warna, rekaan ini turut menawarkan pilihan penutup botol yang boleh ditukar ganti, membolehkan pengguna menyesuaikan tampilannya mengikut citarasa masing-masing.

Sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan impak sosial S10, jenama tersebut turut menyumbangkan sebanyak RM15,000 kepada Jabatan Perkhidmatan Ortopedik, Sunway Medical Centre.

Bantuan tersebut diharapkan dapat menyokong proses pemulihan mereka, termasuk mendapatkan semula kekuatan fizikal, pergerakan serta keyakinan untuk kembali aktif dalam bidang sukan.

Koleksi S10 x Montigo kini boleh didapati di seluruh Asia Tenggara menerusi laman rasmi Montigo.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments