KISAH seram yang pernah menggemparkan dunia kembali dengan nafas baharu apabila Prime Video menampilkan siri terbaharu Carrie, sebuah adaptasi televisyen yang diinspirasikan daripada novel debut ikonik karya penulis terkenal, Stephen King.Membawa pendekatan yang lebih moden dan segar, siri ini menjanjikan penceritaan semula yang berani terhadap kisah 'coming-of-age' klasik mengenai seorang remaja yang berdepan tekanan sosial, trauma keluarga serta kebangkitan kuasa misteri dalam dirinya.
Carrie bakal ditayangkan secara eksklusif di Prime Video pada musim luruh ini, untuk penonton di lebih 240 negara dan wilayah seluruh dunia.
Siri ini mengikuti perjalanan Carrie White, lakonan Summer Howell, seorang pelajar sekolah menengah yang sering dianggap sebagai orang luar dan menghabiskan sebahagian besar hidupnya terkurung di rumah bersama ibunya yang terlalu melindungi, Margaret White (Samantha Sloyan).
Namun, selepas kematian mengejut bapanya memaksa dia melangkah ke dunia sekolah menengah awam yang penuh cabaran, di mana kehidupan Carrie berubah apabila dia perlu berdepan dengan pelbagai tekanan baharu.
Daripada kontroversi buli yang tular sehingga menggoncang komuniti, budaya kejam era media sosial, sehinggalah kebangkitan kuasa telekinesis misteri yang muncul seiring perubahan dirinya sebagai seorang remaja, Carrie perlu mencari cara untuk memahami dunia sekeliling dan dirinya sendiri.
Kisah Klasik Dengan Perspektif BaharuDisampaikan menerusi lapan episod penuh intensiti, siri ini mengembangkan lagi dunia yang dicipta Stephen King dengan memberikan perhatian lebih mendalam terhadap karakter, konflik serta detik-detik kecil yang akhirnya membawa kepada satu malam penuh kehancuran.
Carrie bukan sekadar kisah seram, tetapi turut mengangkat persoalan tentang kemanusiaan, mengenai perbezaan antara kebaikan dan kekejaman, serta persoalan sama ada penonton sedang menyaksikan pembentukan seorang wira, raksasa atau sesuatu yang jauh lebih kompleks.
Summer Howell dipilih untuk membawa watak ikonik Carrie White selepas proses pencarian pelakon yang melibatkan lebih daripada 1,000 calon yang menjalani uji bakat bagi peranan tersebut.
Turut menyertai barisan pelakon tetap siri ini ialah Samantha Sloyan sebagai Margaret White, Siena Agudong (Sue Snell), Alison Thornton (Chris Hargensen), Joel Oulette (Tommy Ross), Josie Tota (Tina), Arthur Conti (Billy), Thalia Dudek (Emaline), Amber Midthunder (Miss Desjardin) serta Matthew Lillard (Principal Grayle).
Siri terbitan Amazon MGM Studios ini ditulis dan diterbitkan secara eksekutif oleh Mike Flanagan, yang turut mengarahkan empat episod, manakala Stephen King turut berperanan sebagai penerbit eksekutif.
Novel asal
Carrie diterbitkan pada tahun 1974 dan menjadi karya pertama Stephen King yang melancarkan kerjayanya sebagai salah seorang penulis paling berpengaruh dunia. Sehingga kini, buku-bukunya telah terjual lebih daripada 350 juta naskhah di seluruh dunia.
Naskhah tersebut turut berada dalam senarai The New York Times Best Seller selama 14 minggu dan telah diterjemahkan ke lebih daripada 35 bahasa.
Pengaruh kisah Carrie semakin kukuh selepas adaptasi filem arahan Brian De Palma pada tahun 1976 yang menerima pencalonan Anugerah Akademi (Academy Award) dan mengukuhkan statusnya sebagai salah satu karya seram paling ikonik dalam budaya popular. Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-50 filem tersebut.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments