| Liew Chian Jia, Pengarah Serantau Asia Tenggara, Lembaga Pelancongan Hong Kong (HKTB), menerima anugerah pada Halal in Travel Awards 2026 |
HONG KONG terus mencuri perhatian dalam dunia pelancongan apabila berjaya mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu destinasi mesra Muslim terbaik dunia. Bandar raya ikonik itu menduduki tempat kedua dalam kategori Destinasi Mesra Muslim (Bukan Pertubuhan Kerjasama Islam, Non-OIC) di Halal in Travel Awards 2026.
Pengiktirafan tersebut diumumkan sempena Halal in Travel Global Summit di Singapura, menerusi pelancaran Global Muslim Travel Index (GMTI) 2026 oleh CrescentRating bersama Mastercard.
Pencapaian ini menyaksikan peningkatan kedudukan Hong Kong berbanding tempat ketiga yang diraih pada tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan perkembangan positif dalam menyediakan pengalaman perjalanan yang lebih inklusif buat pelancong Muslim.
Selain pencapaian keseluruhan, Hong Kong turut mencatat kejayaan dalam beberapa kategori lain apabila muncul sebagai destinasi nombor satu bagi kategori Destinasi Pelancongan Mesra Muslim untuk Wanita (Non-OIC) serta mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju dalam kategori Destinasi Pelancongan Mesra Muslim dan Mudah Diakses (Non-OIC).
Peningkatan ini didorong oleh kemudahan mesra Muslim yang semakin berkembang di seluruh bandar, termasuk pilihan makanan halal, penginapan serta fasiliti pelancongan yang lebih mudah diakses.
Sehingga kini, Hong Kong menawarkan hampir 290 premis diperakui halal, termasuk 222 restoran halal dan milik Muslim serta 61 hotel yang menerima penarafan CrescentRating.
Usaha memperkukuh pengalaman pelancongan Muslim turut mendapat sokongan daripada pemain industri tempatan apabila beberapa organisasi menerima pengiktirafan di Halal in Travel Awards 2026.
Antaranya ialah Kai Tak Cruise Terminal yang dinobatkan sebagai Hab Pengangkutan Mesra Muslim 2026, Dorsett Tsuen Wan Hong Kong sebagai Hotel Mesra Muslim 2026, serta Ocean Park Hong Kong sebagai Tarikan Mesra Muslim 2026.
Seiring dengan peningkatan kemudahan tersebut, Hong Kong turut merekodkan pertumbuhan ketibaan pelawat dari Malaysia sebanyak 9.7 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2026, menunjukkan minat yang semakin meningkat terhadap pengalaman pelancongan mesra Muslim di bandar raya itu.
Kempen 'Jelajah Hong Kong' Dekati Pelancong Muslim
Pencapaian Hong Kong turut diperkukuhkan menerusi kempen 'Jelajah Hong Kong' oleh Hong Kong Tourism Board (HKTB) yang berjaya memenangi anugerah Kempen Pemasaran Pelancongan Halal Terbaik 2026.
Kempen ini diiktiraf hasil pendekatan kreatif dalam mendekati pelancong Muslim melalui penceritaan autentik, kandungan destinasi yang relevan serta sumber rujukan praktikal.
Mengangkat semangat Discover Hong Kong, kempen tersebut mengetengahkan pengalaman mesra Muslim yang lebih dekat dengan budaya masyarakat Asia Tenggara. Antara tarikan utama kempen ini ialah penerbitan video muzik Hari Raya pertama yang dirakam sepenuhnya di Hong Kong menerusi kerjasama bersama penyanyi, Ernie Zakri dan Syamel Aqmal.
Bagi membantu pelancong merancang perjalanan dengan lebih mudah, HKTB turut menyediakan pelbagai sumber digital seperti bahagian Muslim Travel di DiscoverHongKong.com serta Panduan Pelancongan Muslim Hong Kong. Panduan ini merangkumi maklumat mengenai restoran halal, lokasi solat, tarikan mesra Muslim, pilihan penginapan serta cadangan itinerari.
Pelancong Muslim boleh menikmati pengalaman Hong Kong dengan lebih yakin, daripada mencuba sajian Kantonis halal autentik dan hidangan antarabangsa, hinggalah meneroka lokasi ikonik seperti Victoria Peak, Ocean Park Hong Kong, kawasan kejiranan bersejarah serta memulakan perjalanan melalui Kai Tak Cruise Terminal yang memenangi anugerah.
Kini, Hong Kong bukan sahaja menawarkan tarikan ikonik, malah terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi mesra Muslim dengan pengalaman percutian yang lebih selesa, mudah dan bermakna buat pelancong dari Malaysia serta seluruh dunia. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments