Faker, Beomgyu TXT Hingga Max Changmin Sertai 'Murder Club: Liar’s Table' Di Disney+


BERSEDIA untuk permainan minda yang penuh teka-teki, strategi dan kejutan apabila Disney+ bakal memperkenalkan rancangan realiti baharu yang menggabungkan elemen misteri pembunuhan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Bertajuk Murder Club: Liar’s Table, rancangan permainan berkonsepkan 'murder mystery' ini bakal menemui penonton mulai 29 Julai secara eksklusif di Disney+, menampilkan barisan personaliti popular daripada pelbagai bidang termasuk dunia hiburan, sukan, permainan profesional dan pencipta kandungan digital.

Dalam permainan yang menguji kepercayaan serta kebijaksanaan peserta ini, setiap individu perlu menggunakan kemahiran membaca situasi, mencari petunjuk dan mengenal pasti siapa dalang sebenar yang tersembunyi dalam kalangan mereka.

Misteri Pembunuhan Dengan Sentuhan Teknologi AI

Murder Club: Liar’s Table membawa sekumpulan selebriti ke dalam pengalaman misteri pembunuhan yang lebih imersif, apabila mereka perlu berdepan permainan penuh penipuan, rahsia tersembunyi dan pertarungan psikologi.

Menerusi latar permainan yang berubah-ubah, peserta akan dibawa ke pelbagai dunia berbeza, daripada era Dinasti Joseon, padang besbol moden sehinggalah penjara. Setiap kes pembunuhan pula akan dihidupkan menerusi paparan video yang dijana menggunakan teknologi AI bagi melengkapkan jalan cerita.

Dalam permainan ini, seorang pelaku sebenar bersembunyi dalam kalangan peserta lain. Dengan hanya bergantung kepada petunjuk dan bukti yang terhad, mereka perlu bekerjasama untuk membongkar identiti pelaku sebelum masa tamat. Namun, individu yang bersalah pula perlu menggunakan segala strategi yang ada untuk mengelak daripada dikesan sehingga ke penghujung permainan.

Diterbitkan oleh KJH Studio dan Skaper AI, Murder Club: Liar’s Table menampilkan barisan peserta terkenal termasuk YouTuber pengembaraan Pani Bottle, pemain permainan profesional terkenal Faker, pelawak veteran Choi Yangrak, pelawak Eom Jiyoon, pelakon Shin Sungrok, pencipta kandungan viral Kim Seontae, ahli kumpulan TVXQ! Max Changmin, pemain besbol profesional Kim Hyunsoo, anggota kumpulan Tomorrow  X Together (TXT), Beomgyu, serta chef daripada Culinary Class Wars, Park Juseong.

Kehadiran figura daripada pelbagai latar menjadikan rancangan ini lebih menarik apabila setiap peserta membawa gaya pemikiran, strategi dan personaliti tersendiri dalam usaha menyelesaikan misteri yang diberikan.

Murder Club: Liar’s Table merupakan antara rancangan realiti terbaharu yang bakal menghiasi platform Disney+. Saksikan siri ini bermula 29 Julai secara eksklusif di Disney+. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments