Selepas Fenomena ‘Rindu Hatiku Rindu’, Tantari Kembali Meruntun Hati Dengan ‘1 Cinta 1 Rindu’


SELEPAS mencipta fenomena menerusi lagu Rindu Hatiku Rindu yang meraih lebih 16 juta tontonan di YouTube, penyanyi cilik berbakat besar, Tantari, kembali mempertaruhkan karya baharu yang sarat dengan emosi dan penghayatan.

Menerusi single terbaharu berjudul 1 Cinta 1 Rindu, bintang muda ini akan membawa pendengar menyelami kisah cinta yang tidak kesampaian, namun meninggalkan kerinduan yang terus hidup dalam ingatan.

Bukan sekadar sebuah lagu balada, karya ini hadir sebagai naratif tentang perasaan yang sukar dilepaskan walaupun hubungan yang pernah dibina sudah berakhir.

Karya ciptaan komposer terkenal, Eddie Hamid, ini dilihat mempunyai ramuan yang berpotensi mengulangi kejayaan Rindu Hatiku Rindu, yang turut lahir daripada sentuhannya. Sementara itu, lirik hasil karya Jaju, Hakim Hakimi dan Te Ha mengangkat realiti yang dekat dengan kehidupan ramai, tidak semua kisah cinta berakhir seperti yang diimpikan.

Menurut Eddie, inspirasi di sebalik lagu tersebut lahir daripada kisah-kisah yang berlaku di sekelilingnya, selain pengalaman peribadi yang pernah dilalui.

"Lagu ini diinspirasikan daripada kisah-kisah benar yang berlaku di sekeliling saya termasuk pengalaman individu terdekat yang bergelut dengan rasa rindu.

"Malah, saya juga menyuntik sedikit emosi yang pernah saya rasai sendiri agar penyampaian itu kedengaran lebih jujur dan tulus dari sudut hati," ujarnya.

Cabaran Menjiwai Sebuah Kerinduan

Bagi Tantari, peluang bekerjasama dengan Eddie Hamid serta barisan penulis lirik berpengalaman merupakan pengalaman yang amat bermakna dalam perjalanan seninya.

Proses rakaman berlangsung dalam suasana yang cukup membina apabila setiap tunjuk ajar dan panduan diberikan bagi memastikan mesej yang ingin disampaikan menerusi lagu ini benar-benar sampai ke hati pendengar.

Namun di sebalik hasilnya, Tantari yang kini berusia sembilan tahun itu mengakui cabaran terbesar adalah untuk memahami dan menzahirkan emosi yang terkandung dalam lagu berkenaan.

"Cabaran paling payah adalah untuk menjiwai rasa rindu dan kesedihan itu. Saya perlu berhati-hati agar tidak menyampaikannya secara berlebihan.

"Dalam masa sama, vokal saya harus dijiwai sepenuhnya untuk membuatkan pendengar turut merasai kepedihan tersebut seperti yang dimahukan abang Eddie," katanya.

Bagi memastikan penghayatan yang tepat, Tantari mengambil masa beberapa minggu untuk mendalami emosi dan memahami setiap bait lirik sebelum sesi rakaman dijalankan. Rakaman vokal pula dilakukan dalam beberapa sesi berasingan bagi memastikan setiap bahagian lagu dapat disampaikan dengan kualiti terbaik.

Melengkapkan pelancaran single tersebut, video muzik 1 Cinta 1 Rindu turut dihasilkan dengan penceritaan yang selari dengan tema lagu, sekali gus memperkukuhkan lagi mesej yang ingin disampaikan kepada pendengar.

Berbekalkan sokongan yang diterima menerusi karya terdahulu, Tantari berharap lagu baharunya mampu menemui tempat istimewa di hati peminat muzik tempatan dan serantau.

"Harapan saya agar lagu ini dapat menyentuh hati mereka yang mendengarnya, terutamanya bagi mereka yang pernah atau sedang melalui perpisahan. Saya mahu lagu ini menjadi teman buat mereka yang sedang merindu orang yang pernah dicintai," katanya menutup bicara.

Single 1 Cinta 1 Rindu terbitan Nova Music Malaysia telah mula distrim di semua platform penstriman muzik digital sejak 22 Mei lalu, manakala video muzik rasminya boleh ditonton menerusi saluran YouTube Nova Music Videos. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments