Dari Avatar: Fire and Ash Hingga The Bear Musim Akhir, Ini Yang Menanti Di Disney+ Sepanjang Jun Ini

Disney+ membawakan pelbagai tayangan menarik sepanjang Jun 2026

BULAN Jun menjanjikan pelbagai pilihan hiburan menarik buat pelanggan Disney+, daripada drama Korea romantik dan filem animasi keluarga sehinggalah tayangan blockbuster yang dinanti-nantikan peminat di seluruh dunia.

Antara yang paling mencuri perhatian sudah tentu kemunculan Avatar: Fire and Ash, bab terbaharu dalam francais epik arahan James Cameron. Selain itu, musim terakhir siri popular The Bear turut bersedia menghidangkan penutup yang penuh emosi, manakala beberapa kandungan kanak-kanak dan siri kegemaran peminat bakal melengkapkan barisan tayangan sepanjang bulan ini.

Doctor on the Edge: Musim 1
Tayangan bermula 1 Jun

Dibintangi Lee Jaewook dan Shin Yeeun, drama Korea ini membawa penonton ke Pyeondongdo, sebuah pulau terpencil yang sering dielakkan ramai. Di sana, doktor kesihatan awam, Do Jiui bertemu jururawat misteri, Yuk Hari, dalam kisah yang menggabungkan elemen perubatan, percintaan dan rahsia yang menanti untuk dirungkai.

Hoppers
Tayangan bermula 3 Jun
Pelakon: Piper Curda, Meryl Streep, Bobby Moynihan, Jon Hamm dan Dave Franco.

Filem animasi ini memperkenalkan Mabel, seorang pencinta haiwan yang menggunakan teknologi baharu untuk memindahkan kesedarannya ke dalam seekor memerang robotik yang kelihatan hidup. Keupayaan luar biasa itu membolehkannya berkomunikasi secara langsung dengan haiwan, sekali gus membawanya kepada pelbagai misteri dan penemuan yang tidak pernah dibayangkan.

Avatar: Fire and Ash
Tayangan bermula 24 Jun
Pelakon: Sam Worthington, Zoe Saldaña, Sigourney Weaver dan Kate Winslet

Selepas kejayaan besar francais Avatar, penonton bakal kembali ke dunia Pandora menerusi bab paling mencabar dalam perjalanan keluarga Sully. Ketika Jake Sully dan Neytiri berusaha meneruskan kehidupan selepas berdepan kehilangan yang mendalam, mereka mengembara bersama komuniti nomad Wind Traders yang menjelajah langit Pandora. Namun, perjalanan itu terganggu dengan kemunculan musuh baharu iaitu Ash People, puak pejuang yang dipimpin Varang dan berpaling daripada Eywa serta tradisi kuno Na'vi.

The Bear: Musim 5
Tayangan bermula 26 Jun

Siri popular FX, The Bear, kembali untuk musim kelima yang juga merupakan musim terakhirnya. Kisah bermula selepas Sydney, Richie dan Sugar mengetahui bahawa Carmy telah meninggalkan dunia kulinari dan menyerahkan masa depan restoran kepada mereka. Dengan masalah kewangan yang semakin meruncing, ancaman penjualan restoran dan pelbagai cabaran lain, pasukan tersebut perlu bersatu untuk memastikan operasi terakhir mereka berjalan lancar.

Musim penutup ini dijangka membawa penonton kepada persoalan penting tentang makna sebenar sebuah restoran yang berjaya. Adakah ia terletak pada makanan yang dihidangkan atau individu yang menghidupkannya?

Siri Yang Bakal Melabuhkan Tirai

Beberapa siri turut akan menyiarkan episod akhir masing-masing sepanjang bulan ini. Tracker Musim 3 akan menamatkan siarannya menerusi episod ke-22 pada 10 Jun, diikuti Travis Japan Summer Vacation!!! in the USA pada 19 Jun dan The Flowers of Evil pada 25 Jun. Sementara itu, Welcome to Wrexham Musim 5 bakal menutup tirainya menerusi episod kelapan pada 26 Jun.

Hiburan Menarik Untuk Si Kecil

Penonton cilik juga tidak ketinggalan menikmati pelbagai kandungan baharu sepanjang Jun. Antara yang bakal ditayangkan ialah Minnie’s Bow-Toons Pet Hotel pada 3 Jun, Iron Man and His Awesome Friends pada 12 Jun, kolaborasi istimewa Mickey + Bluey yang turut ditayangkan pada 12 Jun, serta musim ketiga Superkitties yang akan menemui penonton pada 24 Jun.

Dengan gabungan siri popular, filem blockbuster dan kandungan mesra keluarga, Disney+ terus menawarkan pilihan hiburan yang pelbagai untuk dinikmati sepanjang Jun 2026. Sama ada peminat drama Korea, pengembaraan epik di Pandora atau kisah penuh emosi di dapur The Bear, bulan ini menjanjikan sesuatu untuk setiap penonton. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments