Program Hijrah Prihatin Bangkit Asnaf 2026 Suntik Harapan Baharu 30 Pelajar


SETIAP anak dilahirkan dengan potensi dan peluang untuk membina masa depan mereka sendiri. Namun realitinya, tidak semua membesar dalam keadaan yang sama. Ada dalam kalangan mereka yang berdepan kekurangan hidup sehingga menjejaskan keyakinan diri, sekali gus membuatkan impian terasa jauh untuk dicapai.

Bertitik tolak daripada kesedaran ini, TV AlHijrah dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menganjurkan Program Hijrah Prihatin Bangkit Asnaf 2026 yang berlangsung dari 15 hingga 17 Mei 2026 di Perlis.

Program ini melibatkan seramai 30 pelajar asnaf daripada beberapa sekolah di sekitar Kuala Lumpur termasuk Sekolah Kebangsaan Dato’ Keramat 1, Sekolah Kebangsaan Bukit Jalil, Sekolah Kebangsaan Bandar Tasik Selatan, Sekolah Kebangsaan Cochrane Perkasa, Sekolah Kebangsaan Batu Muda dan Sekolah Kebangsaan Sentul Utama.

Sepanjang tiga hari program ini, ia bukan sekadar aktiviti luar bilik darjah atau lawatan, sebaliknya memberi fokus kepada pembinaan keyakinan diri, semangat juang serta dorongan untuk mengubah masa depan. Pendekatan yang digunakan turut menekankan pembangunan sahsiah dan jati diri peserta.

Salah satu pengalaman yang paling memberi kesan kepada peserta ialah perjalanan menaiki tren ETS dari KL Sentral ke Arau. Bagi sebahagian daripada mereka, ini merupakan pengalaman pertama menaiki perjalanan jauh dengan kereta api moden. Pengalaman ini bukan sahaja membuka ruang kepada pengalaman baharu, tetapi juga memberi peluang melihat persekitaran di luar kebiasaan mereka.

Setibanya di Arau, peserta meneruskan perjalanan dengan bas ke lokasi aktiviti di sekitar Perlis. Sepanjang perjalanan, suasana ceria jelas kelihatan apabila peserta menikmati pengalaman baharu yang berbeza daripada rutin seharian mereka.

Bina Keyakinan dan Jati Diri

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti telah diatur termasuk sesi motivasi, aktiviti komuniti serta program pembangunan diri. Setiap pengisian memberi penekanan kepada nilai disiplin, komunikasi, kerjasama dan keberanian menetapkan matlamat hidup.

Pendekatan santai sepanjang program membantu peserta lebih terbuka untuk bergaul dan berkongsi pandangan. Dalam masa sama, mereka turut diberi ruang untuk meluahkan aspirasi yang sebelum ini mungkin hanya dipendam.

Perubahan ketara dapat dilihat apabila sebahagian peserta yang pada awalnya pasif mula menunjukkan keyakinan untuk berinteraksi. Ada yang berani bercakap dalam kumpulan, malah ada yang berkongsi cita-cita serta hasrat untuk membantu keluarga pada masa hadapan.


Menurut Pengurus Projek, Muhammad Sazri Abd Sani, program ini bertujuan memberi pengalaman bermakna yang mampu mencetuskan perubahan jangka panjang dalam cara peserta melihat diri mereka.

Tegasnya, keyakinan diri penting untuk membantu anak-anak asnaf keluar daripada kekangan hidup, dan ia boleh dibentuk melalui sokongan serta kepercayaan daripada pihak luar.

Program ini juga mencerminkan usaha berterusan TV AlHijrah dan MAIWP dalam memperluaskan pendekatan bantuan kepada golongan asnaf, bukan hanya dari aspek kewangan tetapi juga pembangunan emosi, motivasi dan sahsiah diri. Pendekatan ini penting dalam usaha jangka panjang membina generasi yang lebih berdikari.

Bagi kedua-dua organisasi ini, para peserta bukan sekadar penerima bantuan, tetapi individu berpotensi menjadi agen perubahan sekiranya diberi peluang dan bimbingan yang sewajarnya.

Program Hijrah Prihatin Bangkit Asnaf 2026 akan terus diperkenalkan kepada masyarakat melalui kapsul khas yang akan disiarkan pada 13 dan 14 Jun 2026, jam 6.55 petang di TV AlHijrah, yang memaparkan perjalanan serta pengalaman peserta sepanjang program berlangsung. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments