| Pengalaman sebagai suami dan bapa menjadi nadi kepada Sempurna, kolaborasi penuh emosi antara Harith Zazman dan Yonnyboii |
MENJELANG sambutan Hari Bapa, Harith Zazman dan Yonnyboii berganding buat pertama kali menerusi single baharu berjudul Sempurna, sebuah karya yang lahir daripada pengalaman paling dekat dengan kehidupan mereka sebagai suami dan bapa.
Ditulis oleh Harith Zazman, Yonnyboii dan Justin Seow, yang turut bertindak sebagai penerbit, lagu ini membawa sentuhan pop yang menyentuh emosi sambil mengangkat mesej bahawa kesempurnaan bukanlah lahir daripada persamaan, sebaliknya melalui penerimaan, kasih sayang dan penghargaan terhadap insan yang melengkapkan kehidupan.
Bagi Harith, 32, idea menghasilkan Sempurna hadir selepas melalui sendiri fasa baharu sebagai seorang suami. Pengalaman membina rumah tangga membuka ruang untuknya memahami bahawa perbezaan bukanlah penghalang, malah menjadi kekuatan dalam sesebuah hubungan.
“Selepas berkahwin, saya sedar banyak perbezaan antara saya dan isteri. Kami datang daripada latar belakang berbeza dan kadang-kadang mempunyai pandangan yang bertentangan tentang sesuatu perkara.
"Bagaimanapun perbezaan itulah yang membuatkan kami saling belajar dan memahami antara satu sama lain. Bagi saya, itulah maksud sebenar ‘sempurna’,” ujarnya.
Penyanyi yang sebelum ini dikenali menerusi single Stop Lah Being So Cute itu turut mengakui karya ini merupakan antara lagu paling peribadi pernah dihasilkannya sepanjang bergelar anak seni kerana setiap bait lirik lahir daripada pengalaman yang benar-benar dilalui.
“Ini mungkin lagu yang paling matang dan paling emosional pernah saya tulis. Saya menangis ketika menulis lagu ini kerana ia sangat dekat dengan pengalaman hidup saya sendiri.
"Saya juga tidak sabar untuk berkongsi mesej lagu ini dengan semua orang,” jelas Harith.
Dua Sahabat, Kongsi Kisah Keluarga
Kolaborasi bersama Yonnyboii pula tercetus secara spontan. Harith yang sudah lama menyimpan hasrat untuk bekerjasama dengan sahabatnya itu percaya Yonnyboii ialah individu paling tepat untuk menyampaikan emosi yang terkandung dalam lagu tersebut, memandangkan mereka berkongsi perjalanan hidup hampir sama sebagai suami dan bapa.
“Saya dan Yonny mungkin tidak selalu berjumpa, tetapi kami sering berhubung dan saling menyokong antara satu sama lain. Apabila lagu ini siap dalam bentuk demo, saya terus terfikir tentang Yonny.
"Sebagai seorang suami dan bapa, dia sangat memahami emosi dan perjalanan yang cuba saya sampaikan dalam lagu ini,” ujarnya.
Bagi Yonnyboii pula, Sempurna menjadi dedikasi istimewa buat isteri serta anak lelakinya yang sentiasa menjadi sumber kekuatan dalam hidupnya.
“Dalam lagu ini, saya cuba menyampaikan kepada isteri dan anak bahawa saya sanggup melakukan apa sahaja untuk mereka. Mereka membuatkan hidup saya terasa lengkap dan sempurna,” kata bapa kepada seorang anak itu.
Lebih mengharukan, sesi rakaman lagu ini turut diwarnai dengan kehadiran anak lelaki Yonnyboii, Kyro, yang menemaninya sepanjang proses rakaman berlangsung.
Bagi Harith, detik tersebut menjadikan keseluruhan karya itu lebih jujur dan dekat dengan realiti kehidupan mereka sebagai seorang bapa.
“Ketika menulis dan merakam lagu ini, Yonny sedang mendukung anaknya. Malah, ada suara bayi yang turut kedengaran dalam rakaman asal lagu ini. Bagi saya, perkara kecil seperti itu membuatkan lagu ini menjadi lebih jujur dan lebih dekat dengan hati,” katanya.
Walaupun Sempurna membawa tema yang lebih matang, Yonnyboii percaya identiti muziknya tetap kekal terserlah menerusi karya tersebut.
“Saya rasa setiap artis ada identiti tersendiri. Walaupun cerita yang saya kongsi hari ini lebih banyak berkisar tentang keluarga kerana saya sudah berkahwin dan mempunyai anak, identiti Yonnyboii tetap sama.
"Lagu ini cuma menunjukkan sisi saya yang lebih jujur, penyayang dan menghargai orang-orang yang saya sayang,” penyanyi berusia 28 tahun itu lagi.
Apabila diminta menggambarkan Sempurna dalam tiga perkataan, Yonnyboii tanpa ragu memilih "Yayo, Nina, Kita", merujuk kepada keluarga kecilnya yang menjadi inspirasi terbesar di sebalik penghasilan lagu tersebut.
Dilancarkan sempena Hari Bapa, lagu ini bukan sekadar meraikan kasih sayang dalam institusi keluarga, tetapi turut mengajak pendengar menghargai perbezaan, menerima kekurangan dan menemukan makna sebenar kesempurnaan melalui insan yang sentiasa setia menemani setiap fasa kehidupan.
Single Sempurna boleh mula distrim di semua platform penstriman digital bermula 19 Jun 2026. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments