Pendaki Jaslinda Ditemui Selamat Selepas 14 Hari Hilang


PENDAKI wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang sebelum ini dilaporkan hilang ketika menyertai pendakian di Gunung Batu Putih, Tapah sejak 24 Mei lalu, akhirnya ditemui dalam keadaan selamat pada petang Sabtu berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh, Ipoh Perak.

Mangsa ditemui oleh seorang penduduk kampung, Nazri Bah Eng, sekitar jam 3 petang sebelum segera memaklumkan kepada pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, Jaslinda berada dalam keadaan stabil dan telah ditempatkan sementara di rumah Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu.

Sebelum kejadian, Jaslinda bersama 13 pendaki lain serta dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) telah memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada jam 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung, Gunung Bah Gading, Gunung Batu Putih hingga ke Kuala Woh.

Difahamkan, Jaslinda dan seorang lagi pendaki lelaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan ketika pendakian dan terpaksa berhenti daripada kumpulan utama. Namun dia kemudiannya dilaporkan meneruskan perjalanan seorang diri ke arah puncak sebelum kali terakhir dilihat pada 24 Mei lalu.

Operasi pencarian dijalankan sejak laporan kehilangan dibuat sebelum mangsa ditemui dalam keadaan selamat oleh penduduk kampung Orang Asli selepas 14 hari. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments