Selepas 9 Tahun, Andi Bernadee Akhirnya Lancar Album Sulung ‘Ding Geding’


SELEPAS hampir sedekad membina nama dalam industri muzik tempatan, Andi Bernadee akhirnya menoktahkan penantian panjangnya dengan pelancaran album sulung berjudul Ding Geding.

Album ini hadir sebagai pencapaian penting dalam perjalanan seni penyanyi dan penulis lagu tersebut selepas bertahun-tahun menghasilkan single yang mencuri perhatian pendengar.

Menampilkan 12 buah lagu, Ding Geding menjadi himpunan pelbagai emosi dan pengalaman hidup Andi yang diterjemahkan ke dalam bentuk muzik. Setiap karya dalam album ini membawa warna tersendiri, mencerminkan fasa perjalanan dirinya sebagai seorang pengkarya.

Menurut Andi atau nama lengkapnya Andi Azrul Andi Mapangile, album ini boleh digambarkan sebagai 'permulaan satu rentak' yang menghimpunkan pelbagai perasaan dalam satu naskhah muzik.

“Album ini ada momen seronok, kecewa, bingung dan bahagia. Semua emosi itu ada dalam satu album kerana itulah realiti kehidupan sebenar. Emosi manusia sentiasa berubah-ubah dan saya mahu pendengar merasai perjalanan tersebut bersama saya,” ujarnya.

Eksperimen Baharu

Salah satu lagu yang memberi cabaran besar buat Andi dalam album ini ialah Seksa Jiwa, sebuah lagu berentak soul ballad yang membawa dirinya keluar daripada zon selesa.

Genre tersebut bukanlah kebiasaan buat Andi, namun proses menghasilkan lagu itu akhirnya menjadikan ia antara karya yang paling dekat di hatinya dalam album ini.

“Menyiapkan Seksa Jiwa bukan sesuatu yang mudah kerana rentak itu bukan 'makanan' saya. Tetapi apabila lagu itu siap sepenuhnya, ia menjadi antara lagu kegemaran saya dalam album ini. Lagu itu benar-benar memberi kesan apabila didengari seorang diri,” jelasnya.

Menerusi Ding Geding, Andi turut memperlihatkan sisi dirinya yang lebih terbuka untuk bereksperimen dan meneroka arah muzik yang berbeza. Walaupun masih mengekalkan identiti yang dikenali peminat, dia melihat album ini sebagai tanda perkembangan dirinya sebagai seorang pengkarya.

Judul Ding Geding pula diinspirasikan daripada babak ikonik filem klasik Melayu Ahmad Albab, melibatkan watak anak jin yang menyebut frasa 'berding-geding'. Daripada elemen itu, Andi membentuk idea untuk menghasilkan karya yang lebih 'playful', mudah melekat dalam ingatan dan memberikan pengalaman mendengar yang menyeronokkan.

“Saya mahu sesuatu yang apabila orang dengar, mereka terus tertarik dan tertanya-tanya. Sama seperti album ini, setiap lagu mempunyai warna dan identitinya yang tersendiri,” katanya.



Pelancaran album ini turut membawa makna yang cukup besar buat Andi selepas ia tertangguh akibat masalah kesihatan yang dihadapinya sebelum ini. Sepanjang tempoh tersebut, dia berdepan pelbagai cabaran termasuk gangguan kesihatan fizikal dan mental, namun tetap meneruskan proses rakaman serta penghasilan album.

“Sejujurnya saya rasa sangat lega dan bersyukur. Saya menunggu selama sembilan tahun untuk menghasilkan album pertama dan akhirnya impian itu menjadi kenyataan.

"Saya pernah melalui fasa di mana suara tidak keluar dan badan menggeletar, tetapi saya tetap ke studio dan meneruskan perjuangan selagi ada kudrat,” katanya.

Pengalaman itu turut mengubah cara Andi melihat perjalanan kariernya sebagai anak seni, apabila dia mula menghargai proses lebih daripada hasil akhir semata-mata.

Melalui album sulungnya ini, penyanyi asal Sabah itu berharap setiap lagu yang dihasilkan dapat menjadi teman kepada pendengar dalam pelbagai situasi kehidupan mereka.

“Saya harap selepas mendengar album ini, mereka akan rasa bahawa mereka tidak keseorangan. Jika ada mana-mana lagu yang boleh menjadi teman, memberi semangat atau membuatkan mereka rasa difahami, itu sudah sangat bermakna untuk saya sebagai seorang pengkarya,” akhirinya.

Pelancaran album ini memberi peluang kepada peminat untuk menikmati karya Andi Bernadee yang sarat dengan pelbagai warna muzik dan emosi, hasil daripada perjalanan panjangnya dalam industri hiburan. Ding Geding kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 5 Jun 2026.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments