| Kuala Lumpur menjadi satu-satunya destinasi di Asia Tenggara untuk konsert eksklusif Evanescence pada 2026 |
Oleh: AILEEN ADAM
KUMPULAN antarabangsa, Evanescence, bakal kembali ke Malaysia selepas 14 tahun, dengan Kuala Lumpur dipilih sebagai satu-satunya destinasi di Asia Tenggara bagi persembahan eksklusif mereka.
Konsert istimewa ini akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada 28 November 2026, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai tumpuan utama peminat serantau yang telah lama menantikan kemunculan semula kumpulan asal Amerika Syarikat itu.
Dikenali dengan identiti muzik yang kuat, melankolik dan penuh emosi, Evanescence telah membina legasi tersendiri menerusi lagu-lagu ikonik seperti Bring Me To Life dan My Immortal.
Di bawah pimpinan vokal unik Amy Lee, kumpulan ini terus kekal relevan merentas generasi, dengan persembahan live yang sering meninggalkan kesan mendalam kepada penonton di seluruh dunia.
Kemunculan semula ini hadir dengan momentum baharu apabila Evanescence baru sahaja melancarkan single terbaharu mereka, selain mengesahkan album baharu yang dijadualkan rilis pada Jun 2026.
Ini menjadikan persembahan di Kuala Lumpur sebagai antara peluang pertama buat peminat di rantau ini untuk menyaksikan karya muzik terkini mereka secara langsung, di samping lagu-lagu klasik yang sudah sebati dengan sejarah muzik rock moden.
Momen Eksklusif Asia Tenggara
Kehadiran Evanescence di Kuala Lumpur bukan sekadar sebuah konsert, tetapi juga satu momen yang membawa nilai sentimental buat peminat yang membesar dengan muzik mereka.
Kali terakhir mereka membuat persembahan di Malaysia adalah pada 2012, menjadikan kemunculan semula ini sebagai satu detik yang jarang berlaku dan penuh makna dalam landskap hiburan tempatan.
Konsert ini dibawakan oleh Hello Universe, penganjur yang sebelum ini pernah membawa beberapa nama besar antarabangsa ke Malaysia, termasuk kejayaan penganjuran konsert dua malam sold-out My Chemical Romance di Kuala Lumpur. Dengan reputasi tersebut, jangkaan terhadap produksi berskala besar ini semakin tinggi.
Persembahan ini dijangka menampilkan pengalaman konsert penuh imersif, menggabungkan vokal bertenaga, susunan muzik dinamik serta visual pentas yang dramatik di mana elemen yang selama ini menjadi identiti Evanescence dalam setiap persembahan mereka di pentas global.
Tiket konsert akan mula dijual pada 8 Mei 2026, jam 10 pagi (MYT) menerusi platform GoLive. Peminat disarankan untuk mendapatkan tiket lebih awal memandangkan permintaan dijangka tinggi bagi acara yang dianggap antara yang paling dinanti pada tahun ini.
Butiran lanjut mengenai kategori tiket serta harga akan diumumkan dalam masa terdekat, menjelang hari jualan rasmi dibuka. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments