TRILOGI konsert CIPTA oleh Datuk M. Nasir akhirnya akan mencapai kemuncaknya apabila edisi keempat, DATO’ M.N47IR CIPTA 4, dijadualkan berlangsung pada 4 Julai 2026.
Siri konsert ini sebelum ini telah membina satu penjenamaan tersendiri dalam landskap muzik tempatan, mengangkat karya seorang maestro yang sinonim dengan ketelitian seni dan kekuatan naratif dalam setiap ciptaannya.
Perkataan 'cipta' dalam judul trilogi ini membawa maksud yang lebih luas daripada sekadar penciptaan karya. Ia merujuk kepada proses menghasilkan sesuatu yang baharu, unik dan tidak pernah wujud sebelumnya, merangkumi idea, karya seni serta imaginasi yang diterjemahkan menjadi realiti.
Dalam konteks ini, ia menjadi cerminan kepada perjalanan seni M. Nasir yang telah sekian lama membentuk identiti muziknya sendiri, sama ada sebagai pencipta mahupun pengkarya yang menyumbang kepada karya orang lain.
Sejak CIPTA 1 diperkenalkan pada Ogos 2024, diikuti CIPTA 2 pada Oktober 2024 dan CIPTA 3 pada September 2025, siri ini berkembang menjadi satu fenomena tersendiri.
Turut menjadi sebahagian daripada naratif ini ialah CIPTA RAYA pada Mac 2025, yang memperlihatkan bagaimana jenama CIPTA bukan sekadar konsert, tetapi satu kesinambungan penceritaan seni yang lebih besar dalam industri muzik tanah air.
CIPTA 4: Penutup Sebuah Trilogi Seni
Konsert DATO’ M.N47IR CIPTA 4 yang dianjurkan oleh Icon Entertainment akan berlangsung di Unifi Arena Kuala Lumpur pada jam 8.30 malam.
Penganjuran ini sekali gus melengkapkan trilogi CIPTA yang bukan sahaja mencatat kejayaan komersial, tetapi turut meninggalkan impak signifikan terhadap perkembangan persembahan muzik berskala besar di Malaysia.
Pada malam tersebut, M. Nasir yang kini berusia 68 tahun akan mempersembahkan rangkaian karya ikoniknya, merangkumi lagu-lagu yang telah lama membentuk perjalanan kariernya sebagai antara figura paling berpengaruh dalam industri muzik serantau.
Konsert ini turut dilihat sebagai ruang untuk mengangkat semula kekuatan katalog karyanya dalam satu persembahan berskala besar yang terancang secara visual dan muzikal.
Menurut M. Nasir, penganjuran CIPTA 4 merupakan pelengkap kepada sebuah perjalanan yang telah dirancang sebagai satu kesinambungan seni.
“Datang dan lengkapkan keraian trilogi Cipta dengan DATO’ M.N47IR CIPTA 4. Kita akan mencipta sejarah untuk masa depan,” ujarnya.
Sementara itu, Icon Entertainment selaku penganjur melihat setiap edisi CIPTA sebagai satu penanda aras baharu dalam industri hiburan tempatan.
Wakil penganjur, Iman Tang, menyatakan bahawa setiap penganjuran dirancang bukan hanya untuk memenuhi permintaan penonton, tetapi untuk membina standard baharu dalam pengalaman konsert yang menggabungkan elemen muzik, visual dan penceritaan seni secara menyeluruh.
Jelasnya, jumlah siri CIPTA yang mencapai empat edisi termasuk CIPTA RAYA adalah berasaskan kepada kekayaan karya M. Nasir sendiri yang begitu luas dan berlapis.
Setiap persembahan memberi peluang kepada penonton untuk menikmati semula karya-karya tersebut dalam bentuk yang lebih segar dan berkonsep.
Seperti edisi-edisi sebelumnya, CIPTA 4 turut menetapkan tema busana batik sebagai sebahagian daripada identiti visual konsert, menjadikannya bukan sahaja sebuah persembahan muzik, tetapi juga satu pengalaman budaya yang lebih menyeluruh.
Dengan semua elemen ini, DATO’ M.N47IR CIPTA 4 dijangka menjadi penutup yang signifikan kepada sebuah trilogi yang telah mengukir sejarah tersendiri dalam industri muzik Malaysia, sekali gus menandakan satu lagi bab penting dalam legasi seni M. Nasir.
Pembelian tiket bagi konsert ini akan dibuka pada 24 April 2026 jam 11 pagi, dengan harga bermula RM238 hingga RM588 mengikut kategori tempat duduk. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments