Bintang Anisong Jepun LiSA Pilih Malaysia untuk Konsert Solo Pertama


BINTANG anisong Jepun LiSA bakal membuat kemunculan sulung di Malaysia menerusi konsert solo LiVE is Smile Always~15~ in Kuala Lumpur, yang dijadualkan berlangsung pada 7 Jun 2026, jam 7 malam di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Konsert ini menjadi detik penting dalam perjalanan kariernya apabila ia diraikan sebagai simbol 15 tahun penglibatannya dalam industri muzik, selain membawa pengalaman persembahan live yang sinonim dengan kekuatan vokal dan tenaga pentasnya kepada peminat di Malaysia buat pertama kali.

Dikenali sebagai antara nama besar dalam dunia anisong dan juga sebagai artis rock yang aktif di pelbagai festival muzik, LiSA merupakan antara figura paling berpengaruh dalam industri muzik Jepun hari ini.

Sepanjang kerjayanya, LiSA telah membawakan lagu tema untuk beberapa siri anime popular termasuk Fate/Zero, Sword Art Online, The Irregular at Magic High School dan Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba, sekali gus mengukuhkan pengaruhnya bukan sahaja di Jepun, tetapi juga di peringkat global.

Atas pencapaian tersebut, penyanyi ini juga telah meraih pelbagai pengiktirafan termasuk Japan Record Award di TBS Japan Record Awards ke-62 pada tahun 2020, selain mendominasi carta harian digital serta Oricon bagi kategori album dan single.


Pada tahun 2021 pula, LiSA tampil untuk tahun ketiga berturut-turut di pentas berprestij NHK Kouhaku Uta Gassen, mengukuhkan lagi statusnya sebagai antara artis paling konsisten dalam industri.

Tiket konsert telah mula dijual pada 7 April lalu menerusi BookMyShow KL. Harga tiket ditawarkan antara RM488 hingga RM645. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments