Nawaitu: Menyingkap Khazanah Ilmu Islam di Bulan Ramadan


DALAM dunia siaran yang semakin sarat dengan hiburan segera dan sensasi, RTM tampil dengan sebuah program yang berani memperlahankan rentak lalu mengajak penonton berfikir.

Dokumentari Nawaitu hadir sebagai pengisian istimewa Ramadan 2026 di TV1, membawa 15 episod yang bukan sekadar tontonan, tetapi sebuah perjalanan intelektual.

'Nawaitu', satu kata yang sarat makna. Niat. Tujuan. Arah. Seperti judulnya, dokumentari ini disusun dengan tekun untuk meneroka transformasi ilmu Islam merentas disiplin daripada Fiqh ke Ilmu Kalam, daripada Falak ke Perubatan, termasuk perpaduan dan seni bina Islam.

Di sebalik layar, empat penerbit iaitu Mohd Nazree Mohamaed, Nazatul Fareena Sheikh Rosli, Rozihan Mohd Raji dan Mohd Izwan Talhah berganding bahu menerajui projek ini. Gabungan pengalaman dan perspektif yang berbeza melahirkan sebuah karya yang tidak statik.

Menitik beratkan pendekatan sinematik segar, visual kemas, dan susunan penceritaan yang tidak memaksa penonton menelan fakta, sebaliknya mengundang khalayak untuk menikmati wacana.

Ramadan sering dikaitkan dengan ibadah ritual namun Nawaitu mengajak kita melihat lebih luas bahawa tradisi keilmuan Islam itu sendiri adalah satu bentuk ibadah akal.

Menerusi episod-episodnya penonton dibawa menyelami bagaimana tokoh dan sarjana Islam dahulu menggabungkan wahyu dan akal dalam membina tamadun. Dalam suasana dunia yang sering memisahkan agama dan sains, dokumentari ini tampil sebagai jambatan.

Tempoh penggambaran yang padat membuktikan kesungguhan produksi ini. Dengan perancangan rapi serta pembahagian dua pasukan penerbitan, dokumentari ini berjaya disiapkan dalam garis masa yang mencabar demi memastikan siarannya tepat pada musim Ramadan yang lebih awal pada 2026.

Bagi penonton yang dahagakan kandungan berisi, Nawaitu adalah jawapannya. Ia sesuai untuk generasi muda yang mahu memahami warisan intelektual Islam secara lebih sistematik, juga untuk golongan dewasa yang merindui perbincangan berkelas di kaca televisyen.

Nawaitu bukan sekadar program tontonan di bulan Ramadan, tetapi ia adalah usaha merakam khazanah pemikiran agar tidak hilang ditelan masa. Mungkin, selepas menontonnya, kita akan kembali kepada soalan paling asas, apakah niat kita dalam menuntut ilmu? Kerana segalanya, bermula dengan ‘Nawaitu’.

Jangan lepaskan peluang untuk mengikuti siri penuh makna ini sedang bersiaran setiap hari, jam 6 petang di TV1 atau strim secara percuma di RTMKlik. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments