Siri Original, Filem Blockbuster & Realiti TV, Hangatkan Mac di HBO Max

Antara program dan tayangan menarik di HBO Max sepanjang Mac ini

MEMASUKI Mac, HBO Max tampil dengan deretan kandungan baharu yang merangkumi komedi, drama, realiti dan juga naskhah antarabangsa.

Daripada tayangan perdana filem komedi berprofil tinggi sehinggalah siri original yang dinanti-nantikan, platform penstriman ini menyusun jadual tontonan yang padat untuk pelbagai citarasa penonton.

Antara yang menjadi perhatian ialah siri komedi HBO Original berjudul Rooster, dibintangi oleh Steve Carell. Berlatarbelakangkan suasana kampus kolej, siri ini mengangkat kisah seorang lelaki yang berdepan hubungan rumit bersama anak perempuannya, menjanjikan gabungan humor dan emosi yang seimbang.

Turut mencuri tumpuan ialah filem komedi aksi The Naked Gun (2025) yang menampilkan gandingan Liam Neeson dan Pamela Anderson, serta Splitsville yang diterajui Dakota Johnson.

Selain tayangan baharu, Mac turut menyaksikan kemunculan program yang menerima pengiktirafan anugerah berprestij seperti BAFTA (British Academy of Film and Television Arts) dan pencalonan Oscar menerusi One Battle After Another serta Sinners.

Beberapa judul lain seperti Weapons, The Pitt, The White Lotus dan Task pula mendapat perhatian menerusi pencalonan Writers Guild Awards, menjadikan bulan ini sarat dengan karya yang bukan sahaja menghiburkan, malah diiktiraf dalam industri.

Bersempena sambutan Hari Wanita Seduia, penonton boleh menonton semula atau mengikuti siri original pemenang anugerah seperti Hacks, True Detective: Night Country, House of the Dragon dan Jurassic World Rebirth, yang menampilkan naratif kuat dengan karakter wanita yang signifikan dalam penceritaan masing-masing.

Bagi peminat hiburan Korea, HBO Max turut menyediakan episod baharu The Practical Guide to Love serta The Village Barber yang menampilkan Park Bo-gum.

Tidak ketinggalan, tayangan perdana Mad Concrete Dreams pada 14 Mac mengisahkan seorang tuan rumah yang terdesak sehingga memilih jalan jenayah demi melindungi keluarga dan asetnya, sebuah premis yang menjanjikan ketegangan dan konflik moral.

Filem Pilihan

Filem The Naked Gun (2025) boleh mula distrim pada 6 Mac dan turut ditayangkan di saluran HBO pada 7 Mac, jam 9 malam. Prime Minister pula menemui penonton pada 8 Mac, diikuti Splitsville pada 13 Mac. Seterusnya, The Astronaut boleh distrim bermula 20 Mac dan turut ditayangkan di HBO pada 21 Mac, jam 9 malam.

Siri Baharu & Episod Terkini

Musim kedua The Wonderfully Weird World of Gumball membuka tirai pada 2 Mac dengan episod baharu. Siri HBO Original Rooster pula ditayangkan mulai 9 Mac dan turut tersedia di HBO pada jam 10 pagi.  Mad Concrete Dreams memulakan tayangan pada 14 Mac, manakala musim kesembilan Teen Titans Go! hadir dengan episod baharu bermula 23 Mac.

Penonton juga boleh mengikuti episod terbaharu The Pitt musim kedua setiap Jumaat, The Village Barber setiap Sabtu, serta The Practical Guide to Love setiap Sabtu dan Ahad.

Realiti TV

Bagi penggemar rancangan realiti, Mac menyajikan beberapa pilihan menarik termasuk Bigfoot Took Her terbitan Discovery yang ditayangkan pada 5 Mac. 90 Day Fiancé: The Other Way musim ketujuh dari TLC pula menyusul pada 6 Mac.

Dari HGTV, musim kedua Zillow Gone Wild mula distrim pada 13 Mac, diikuti Sin City Rehab pada 18 Mac. Sementara itu, Be My Guest with Ina Garten musim keenam terbitan Food Network akan ditayangkan bermula 19 Mac.

Dengan rangkaian kandungan yang pelbagai, daripada komedi berskala besar, drama berintensiti tinggi, sehinggalah realiti TV yang santai, HBO Max menjadikan bulan Mac sebagai antara tempoh paling padat dengan pilihan tontonan.

Sama ada mencari hiburan ringan atau karya yang meraih pengiktirafan anugerah, bulan ini jelas menawarkan sesuatu untuk setiap jenis penonton. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments