[AlFatihah] Pelakon dan Penyanyi Era 1980-an, Isma Aliff Meninggal Dunia


INDUSTRI seni tanah air kehilangan seorang lagi figura berbakat apabila pelakon dan penyanyi era 1980-an, Isma Aliff, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kampung Melayu Ampang, Selangor pada pagi Rabu.

Allahyarham Isma atau nama sebenarnya Muhammad Latiff Ismail, meninggal dunia sekitar jam 8.30 pagi pada usia 62 tahun selepas lebih seminggu terlantar akibat komplikasi pelbagai penyakit.

Berita pemergian itu disahkan oleh ahli keluarga terdekat dalam satu kenyataan ringkas yang dimaklumkan kepada umum.

“Assalamualaikum. Innalillahiwainnalillahirajiun. Isma Alif atau Latiff telah menghembuskan nafasnya, kembali kepada penciptanya baru sekejap ini. Jenazahnya masih di rumah,” tulis kenyataan itu.

Kehilangan ini sekali gus mengundang rasa dukacita dalam kalangan peminat serta rakan industri yang mengenali keperibadian dan sumbangan Allahyarham sepanjang menjadi anak seni.

Difahamkan, Allahyarham telah lama berdepan dengan masalah kesihatan, namun keadaannya dilaporkan semakin merosot sejak kira-kira seminggu lalu.

Terdahulu, bintang kelahiran Kuala Lumpur itu pernah menerima rawatan di Hospital Ampang selepas mengalami jangkitan kuman pada jantung dan paru-paru, sehingga memerlukan rawatan rapi pada Disember 2023.

Ketika hayatnya, Isma dikenali sebagai figura seni serba boleh yang aktif sebagai pelakon, penyanyi dan pelawak. Kehadirannya dalam pelbagai program televisyen serta naskhah drama dan filem menjadikan Allahyarham antara wajah yang cukup dikenali pada zamannya.

Antara filem lakonan yang pernah dibintangi termasuk Marah Marah Sayang, Mawar Merah, Sayang Ibu, Jaket Biru, Kembar Siam dan Romeo, yang mencerminkan kepelbagaian karakter yang pernah dibawakan olehnya di layar perak.

Dalam bidang nyanyian pula, Allahyarham pernah menghasilkan empat buah album iaitu Eksyen Saja, Dengar Tau, Kembara Duka dan Macam-Macam Ada, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai penghibur yang versatil dan dekat dengan masyarakat.

Pemergian Isma Aliff pastinya meninggalkan kesan mendalam buat industri seni tanah air, khususnya dalam kalangan peminat yang membesar dalam eranya. Sumbangan dan legasi yang ditinggalkan akan terus dikenang sebagai sebahagian daripada perjalanan seni tempatan.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments