MENJELANG tayangan rasmi Spider-Man: Brand New Day, peminat adiwira ikonik Marvel disajikan dengan satu pengalaman luar biasa apabila langit Kuala Lumpur berubah menjadi pentas penuh cahaya dan aksi.
Ribuan pengunjung membanjiri Raintree Plaza, The Exchange TRX bagi menyaksikan pertunjukan drone dan bunga api yang bukan sahaja mengagumkan dari segi visual, malah menjadi sambutan istimewa sempena kemunculan filem terbaharu Spider-Man di pawagam.
Berlangsung selama dua malam pada 24 dan 25 Julai 2026, acara yang dibawakan oleh Sony Pictures Entertainment Malaysia itu menampilkan 600 drone yang diselaraskan secara serentak, digabungkan dengan pertunjukan bunga api yang memukau sehingga mencipta panorama sinematik di ruang udara ibu kota.
Persembahan tersebut menampilkan pelbagai formasi ikonik yang diinspirasikan daripada Spider-Man, lengkap dengan penceritaan visual dan koreografi udara yang tersusun rapi.
Gabungan teknologi dan kesan khas itu bukan sahaja memukau peminat setia watak adiwira tersebut, malah memberikan pengalaman yang menghiburkan kepada pengunjung daripada pelbagai peringkat usia.
Tidak hanya tertumpu di ruang udara, suasana di lokasi acara turut membawa pengunjung seolah-olah berada di jalanan New York menerusi ruang interaktif bertemakan kejiranan ikonik Spider-Man.
Pengunjung turut disajikan dengan pelbagai sudut interaktif bertema serta lokasi bergambar yang membawa mereka menyelami dunia Spider-Man sebelum menyaksikan kemuncak pertunjukan di ruang udara.
Pengalaman Imersif Buat Peminat Spider-Man
Menurut Pengarah Pemasaran Sony Pictures Entertainment Malaysia, Catherine Chai, acara tersebut dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada peminat Spider-Man di Malaysia.
"Kami mahu memberikan sambutan yang benar-benar istimewa buat peminat Spider-Man. Bermula daripada pengalaman bertemakan New York sehinggalah kepada pertunjukan drone dan bunga api berskala besar, semuanya direka bagi meraikan pelancaran Spider-Man: Brand New Day dengan cara yang sukar dilupakan," katanya.
Filem Spider-Man: Brand New Day akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada Khamis, 30 Julai 2026, manakala tempahan awal tiket kini telah dibuka di semua rangkaian pawagam utama.
Dalam naskhah ini, Peter Parker memulakan lembaran baharu apabila meneruskan kehidupan sebagai Spider-Man sepenuh masa di dunia yang tidak lagi mengingatinya. Ketika bekas rakan-rakannya meneruskan kehidupan tanpa dirinya, Peter berdepan perubahan besar yang mungkin berada di luar kawalannya.
Namun, perubahan itulah yang berpotensi menjadi satu-satunya harapan untuk menghentikan ancaman baharu yang menggegarkan bandar serta insan yang paling disayanginya. Lebih mencabar, musuh tersebut merupakan penjahat berkuasa yang tidak dapat dilihat. Walaupun seluruh dunia telah melupakan Peter Parker, dia tidak pernah melupakan mereka.
Filem ini diarahkan oleh Destin Daniel Cretton, dengan lakon layar hasil tulisan Chris McKenna, Erik Sommers dan Justin Kuritzkes, berdasarkan komik Marvel ciptaan Stan Lee dan Steve Ditko.
Spider-Man: Brand New Day turut menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Tom Holland, Zendaya, Sadie Sink, Jacob Batalon, Jon Bernthal, Tramell Tillman, Michael Mando dan Mark Ruffalo. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments