| Park Hoon, Kim Euisung, Lee E dam dan Nam Joohyuk |
BAYANGKAN sebuah aplikasi telefon yang mampu menunaikan setiap impian penggunanya. Namun, di sebalik janji manis yang kelihatan seperti keajaiban, tersembunyi harga mengerikan yang mampu mengubah segalanya.
Menerusi siri thriller aksi jenayah Korea terbaharu berjudul Code, penonton bakal dibawa menyelami kisah penuh misteri, konflik moral dan permainan berbahaya apabila sebuah aplikasi luar biasa mula menguasai kehidupan penggunanya.
Berlatarbelakangkan Korea moden, Code mengisahkan Taejoo, seorang rakan kongsi di firma guaman terkemuka yang sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai kejayaan.
Memiliki sifat yang mengabaikan nilai moral dan etika, Taejoo berdepan kesukaran dalam kerjayanya sebelum menerima satu jemputan misteri untuk mencuba sebuah aplikasi baharu yang dikatakan mampu merealisasikan setiap permintaan pengguna.
Pada awalnya, aplikasi tersebut kelihatan seperti satu peluang luar biasa yang terlalu sempurna untuk dipercayai. Namun, selepas mula menunaikan setiap permintaan, aplikasi itu perlahan-lahan mendedahkan sisi gelapnya apabila pengguna perlu membayar harga yang mengerikan sebagai balasan.
Dunia Gelap Di Sebalik Keinginan Yang Menjadi Nyata
Menggabungkan elemen aksi, jenayah dan thriller psikologi, Code meneroka persoalan tentang sejauh mana seseorang sanggup bertindak apabila segala keinginan mereka boleh menjadi kenyataan.
Siri ini diarahkan oleh You Sumin, dengan barisan pelakon utama menampilkan Nam Joo-hyuk sebagai Yun Taejoo, seorang peguam yang berdepan konflik moral dalam mengejar kejayaan, serta Lee E-dam sebagai Park Jidam, seorang pendakwa raya yang digambarkan sebagai individu tegas dan tidak berkompromi.
Kehadiran Code menambah lagi deretan kandungan Korea yang bakal hadir di Disney+, meneruskan minat penonton global terhadap siri Korea yang menggabungkan penceritaan mendalam dengan elemen suspens dan aksi.
Siri ini akan ditayangkan secara eksklusif di Disney+, dengan maklumat lanjut mengenai tarikh tayangan dan perkembangan terkini bakal diumumkan kelak. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments