KEJAYAAN Malaysia menjuarai Piala Thomas pada tahun 1992 bukan sekadar kemenangan dalam arena sukan, tetapi sebuah detik bersejarah yang pernah menyatukan seluruh rakyat di bawah satu rasa bangga dan semangat nasional.
Lebih tiga dekad kemudian, momen ikonik itu diangkat semula ke layar perak menerusi filem Sentuhan Wira, terbitan Victory Pictures, yang bertujuan menghidupkan kembali kisah kejayaan tersebut dengan pendekatan lebih emosional dan berjiwa.
Filem ini bukan sekadar untuk meraikan nostalgia, sebaliknya sebagai penghormatan kepada para pemain yang pernah mengangkat martabat badminton negara ke pentas dunia.
Dengan naratif yang memberi penekanan kepada nilai perjuangan, pengorbanan dan semangat sepasukan, Sentuhan Wira diharap mampu menghubungkan generasi lama dan baharu melalui satu kisah yang cukup dekat dengan jiwa rakyat Malaysia.
Baru-baru ini, pihak produksi memperkenalkan barisan pelakon utama dalam satu majlis khas yang turut diserikan dengan upacara simbolik penyerahan skrip oleh pengarah Lenny Ooi dan Nick Ooi.
Majlis tersebut menjadi lebih bermakna dengan kehadiran beberapa legenda Piala Thomas 1992, termasuk ikon badminton negara Datuk Rashid Sidek serta Datuk Cheah Soon Kit, yang merupakan tonggak utama skuad ketika itu dan kini berperanan sebagai penasihat produksi bagi memastikan ketulenan penceritaan.
Antara pelakon yang akan menghidupkan watak-watak wira negara ini ialah Kim Azzim sebagai Rashid Sidek, Sam Liew (Cheah Soon Kit), Ahmad Syafiq Khairul Anuar (Razif Sidek), Ahmad Syahir Mohd Shafe’in (Jalani Sidek), Azim Yusof (Rahman Sidek), Hon Kahoe (Foo Kok Keong), Liang Chia (Soo Bing Kiang), S Jay (Kuan Yoke Ming) dan Henry Ong (Wong Ewee Mun).
Pemilihan barisan pelakon ini mencerminkan usaha produksi untuk menampilkan interpretasi yang berdisiplin dan berwibawa terhadap tokoh-tokoh legenda tersebut.
Lebih Daripada Kemenangan
Menurut Lenny Ooi, Sentuhan Wira tidak dicipta sebagai sebuah karya hiburan semata-mata, sebaliknya membawa tanggungjawab yang lebih besar sebagai sebahagian daripada warisan negara.
Tegasnya, kemenangan Piala Thomas 1992 mengajar rakyat Malaysia tentang makna sebenar kejayaan yang melangkaui angka dan piala.
“Piala Thomas mengajar kita bahawa kejayaan bukan hanya tentang menang atau kalah, tetapi tentang semangat. Itulah inti pati Sentuhan Wira,” jelasnya.
Keunikan utama produksi ini terletak pada penglibatan langsung bekas pemain kebangsaan sebagai penasihat, yang memberikan panduan serta input profesional bagi memastikan setiap elemen penceritaan kekal autentik dan sarat dengan nilai emosi.
Pendekatan ini dilihat mampu memberikan kedalaman kepada naratif filem, sekali gus membezakan Sentuhan Wira daripada filem sukan tempatan yang lain.
Pihak produksi berharap filem ini dapat menjadi medium pendidikan tidak formal kepada generasi muda untuk mengenali sejarah sukan negara, di samping menyemai nilai ketabahan, cita-cita dan keberanian dalam mengejar impian.
Lebih daripada itu, Sentuhan Wira diharapkan mampu menyemarakkan kembali rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.
Kini berada di fasa akhir pra-produksi, Sentuhan Wira dijadualkan memulakan penggambaran pada awal tahun 2026 sebelum ditayangkan di pawagam seluruh negara.
Victory Pictures turut menyatakan komitmen mereka untuk bekerjasama dengan pelbagai rakan strategik bagi membawa filem sukan Malaysia ini menembusi pasaran antarabangsa, sekali gus memperkenalkan kisah wira negara ke pentas global. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments